Bapa mangsa menunjukkan batang pencuci lantai yang turut digunakan untuk memukul anaknya dalam kejadian pergaduhan di Dengkil Selangor.
DENGKIL: Seorang pemandu lori dibelasah kira-kira 30 individu hanya kerana menegur kenderaan jiran yang menghalang laluan keluar dari rumahnya dalam kejadian malam Sabtu lalu.
Difahamkan, mangsa yang juga seorang peniaga mengalami beberapa kecederaan termasuk di kepala, hidung dan lebam di muka akibat dipukul dengan topi keledar, batu bata dan batang pencuci lantai.
Menurut Utusan Malaysia, bapa mangsa, Teo Beng Tuan, 71, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam Sabtu lalu ketika dia bersama anaknya meraikan sambutan Pai Ti Kong sempena Tahun Baharu Cina.
Katanya, insiden bermula selepas anak perempuannya mahu mengeluarkan kenderaan dari rumah sebelum mendapati sebuah kenderaan menghalang laluan itu.
“Anak saya kemudian keluar dan meminta jiran mengalihkan kenderaan itu namun, berlalu pertengkaran mulut antara jiran sebelum pergaduhan tercetus.
“Saya tidak sangka pergaduhan itu bertukar ganas selepas 30 orang membelasah anaknya akibat tidak berpuas hati selepas ditegur,” katanya ketika ditemui Ahad.
Katanya, ketika insiden itu juga, dia bersama anak dan saudaranya yang lain turut diugut dengan senapang patah.
Beng Tuan berkata, akibat kejadian itu, anaknya dikejarkan ke Hospital Cyberjaya pada malam kejadian bagi rawatan sebagai pesakit luar akibat beberapa kecederaan.
Katanya, anaknya turut membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil pada malam yang sama dan keesokannya harinya anaknya ditahan polis.
“Saya hairan kenapa anak saya ditahan sedangkan dia dipukul dengan teruk. Justeru, saya inginkan penjelasan daripada pihak polis mengenai perkara itu.
“Paling menghairankan, polis turut menahan enam ahli keluarga saya yang lain dan mereka kini ditahan dalam lokap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah menahan seramai 14 individu susulan kes pergaduhan di Kampung Baru Dengkil itu.
Katanya, kesemua mereka berusia antara 16 hingga 40 tahun itu ditahan di lokap sejak pagi Ahad sementara menunggu siasatan dilakukan.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka dibebaskan hari ini (kelmarin) dengan jaminan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148/506 Kanun Keseksaan,” katanya.


































