Tangkap layar video yang tular di WhatsApp berkaitan kes samun melibatkan seorang wanita berusia 50 tahun itu.
KOTA KINABALU: Polis mengesahkan video tular di media sosial WhatsApp berkaitan kes samun melibatkan seorang wanita berusia 50 tahun di sini Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supterintenden Hajah Kalsom Haji Idris berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah menerima satu laporan polis berkaitan kejadian samun tersebut yang melibatkan seorang mangsa wanita di lorong belakang sebuah bank di Daerah Kota Kinabalu dan rakaman video insiden ini telah ditularkan di media sosial (WhatsApp).
Katanya, mangsa merupakan seorang wanita berusia 50 tahun yang bekerja di sebuah bank berdekatan.
“Dalam kejadian pada 16 Februari, 2024, kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa telah diserang dengan menggunakan sebatang kayu.
“Mangsa cedera di kepala dan badan serta mengalami kerugian kira-kira RM5,000 termasuk telefon pintar dan wang tunai.
“Walau bagaimanapun, polis Kota Kinabalu pada 18 Februari, 2024, berjaya menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian ini dan akan disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam di mana dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang di atas kelemahan mangsa.
“Elakkan juga ke tempat atau kawasan yang sunyi secara berseorangan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Video tular yang dimuat naik di aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi memaparkan wanita dipukul sebelum beg duitnya dilarikan seorang lelaki di belakang sebuah bank di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, pada 16 Februari lalu.






























