Muhammad Ziyad cemerlang di Grand Prix Dubai apabila menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara lontar peluru.
PETALING JAYA: Dua jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly berada dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas di Kejohanan Grand Prix Olahraga Para Dunia Dubai 2024, Rabu.
Muhammad Ziyad yang pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 dan dua kali juara dunia pada 2013 dan 2017, melakukan lontaran sejauh 16.62 meter (m) pada aksi final acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).
Balingan penuh bertenaga itu mengetepikan pesaing dari Turkiye, Muhammet Atici yang mencatat 15.12m manakala gangsa milik atlet Thailand, Boonkong Sanepoot dengan 12.80m.
“Alhamdulillah untuk kejohanan pertama tahun ini, saya target 16.2m atau 16.3m kerana biasanya saya lontar 15m lebih sahaja. Kali ini dapat 16.62m. Satu pencapaian yang bagus untuk permulaan tahun ini.
“Kejayaan ini juga memberi motivasi tinggi untuk saya bagi menyertai kejohanan akan datang, kita tengok camna mana saya boleh capai dan pecah rekod peribadi (17.29m), kalau dapat Alhamdulillah.
“Sekarang, saya akan teruskan latihan untuk capai impian yang lebih besar,” kata Ziyad kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Abdul Latif yang muncul juara Paralimpik pada 2016 dan 2020, nyata unggul apabila mencatat 7.11m dalam acara lompat jauh T20 (masalah intelektual) untuk meraih emas.
Perak dalam acara itu dimenangi pencabar dari Greece, Athanasios Prodromou yang merekodkan 6.81m untuk perak.
Nikki Tang dari Hong Kong pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas melakukan lompatan 6.74m.
































