Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyambut baik ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam mempertahankan semangat Perlembagaan negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga senada dengan keperluan menurunkan suhu hangat politik berkait keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kedudukan mahkamah syariah di negara ini.
“Isu ini menjadi isu politik..sangat hangat (diperdebatkan). Cerca mencerca, penghinaan kepada hakim dan sebagainya. Jadi keputusan itu menurut tuanku perlu dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum dan semangat perlembagaan.
“Tidak timbul hendak meringankan dan meremehkan kedudukan Mahkamah Syariah. Kalau ada pun cadangan dan tindakan boleh rujuk kepada jawatankuasa khas berkenaan supaya dapat dikaji masalah dibangkitkan negeri dan masyarakat Islam, tetapi tonggak Perlembagaan tidak boleh dirungkai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Gabungan Dewan Perniagaan dan Dewan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) di sebuah hotel di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara yang perlu sentiasa didokongi rakyat Malaysia.
Sultan Selangor turut bertitah, apa yang lebih penting ialah usaha dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
































