Keadaan dua buah motosikal yang bertembung dalam kemalangan di Jalan Besar Sungai Jawi, Pulau Pinang.
NIBONG TEBAL : Dua penunggang motosikal maut akibat bertembung dalam satu nahas jalan raya di Jalan Besar Sungai Jawi, di sini, awal pagi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohammad Asraf Denial Mohd Mokhtar, 22, dan G. Ramachandran, 57.
Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi oleh Ramachandran dari arah Nibong Tebal telah melawan arus untuk masuk ke Taman Jawi Jaya tidak jauh dari situ.
“Secara kebetulan, mangsa pertama (Mohammad Asraf Denial) lalu di kawasan itu dan motosikalnya kemudian secara tidak sengaja telah merempuh motosikal mangsa kedua tadi (Ramachandran) dari arah hadapan iaitu dari arah Sungai Bakap.
“Akibat rempuhan yang kuat itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Mohd. Norazmi berkata, ketika kejadian, cuaca elok dan jalan juga berada dalam keadaan baik termasuk berlampu serta mempunyai garisan putih kembar sebagai pembahagi jalan.
“Saksi awam sedang dikesan dan tiada CCTV (kamera litar tertutup) dilaporkan di tempat kemalangan,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


































