Pasukan penyiasat melakukan siasatan di lokasi nahas pesawat model BK160 Gabriel yang terhempas dekat Jalan Benteng Kanan di Kampung Tok Muda, Kapar.
KLANG: Siasatan terhadap punca nahas pesawat model BK160 Gabriel yang terhempas dekat Jalan Benteng Kanan, Kampung Tok Muda Rabu dijangka memakan masa setahun selepas ia dikatakan tidak mempunyai kotak hitam.
Menurut Utusan Malaysia, hal itu didedahkan seorang pegawai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan yang memaklumkan pesawat ringan tersebut juga tidak mempunyai kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDS) serta alatan sistem kedudukan global (GPS).
“Keadaan itu menyebabkan siasatan tidak ubah seperti teka-teki dengan cantuman terhadap semua serpihan akan dilakukan bagi proses siasatan itu.
“Justeru, semua serpihan pesawat itu akan dibawa ke sebuah hangar di Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Subang Skypark). Insya-Allah pada petang ini,” katanya ketika ditemui di lokasi nahas, Rabu.
Jelas pegawai berkenaan, dapatan awal setakat ini berdasarkan daripada kenyataan salah seorang saksi yang mendakwa melihat sayap pesawat terbabit patah di udara sebelum terjunam ke dalam ladang kelapa sawit di kampung tersebut.
“Siasatan susulan akan menjurus kepada kenyataan saksi selain pada enjin pesawat. Setakat ini, sukar untuk mengenal pasti punca asal pesawat itu terhempas, namun kita akan lihat pada sayap termasuk hentakan yang berlaku selain enjin pesawat.
“Kita akan kaji segala kemungkinan. Orang ramai juga diharap membantu dalam menyerahkan mana-mana serpihan kecil pesawat jika menemuinya,” ujar beliau.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi nahas mendapati sebuah serpihan termasuk roda dan bahagian minyak dibawa keluar dari lokasi rumah penduduk serta dihimpunkan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian.
































