MIAMI: Sekurang-kurangnya dua orang maut selepas sebuah jet peribadi yang dilaporkan mengalami masalah enjin, terhempas ke lebuh raya di Florida.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) menerusi aplikasi X.
Menurut FAA, lima orang menaiki jet Bombardier Challenger 600 apabila ia terhempas kira-kira pukul 3.15 petang (waktu tempatan) semalam di Interstate 75 berhampiran pekan Naples.
“Dua minit sebelum pesawat itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Naples, juruterbang menghubungi pusat kawalan trafik udara dengan memaklumkan bahawa jet tersebut `kehilangan’ kedua-dua enjin dan meminta kebenaran untuk mendarat cemas.
“Pegawai pusat kawalan trafik udara segera memberi laluan untuk jet mendarat.
“Namun, juruterbang menyatakan pesawat dibawanya tidak mungkin akan berjaya sampai ke landasan dan akan mencuba mendarat di Interstate 75,” kata jurucakap lapangan terbang, Robin King.
Jelas King, tiga orang terselamat dalam nahas itu.
Tambahnya, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Ohio State University.
Dalam pada itu, Pejabat Sheriff Collier County mengesahkan kedua-dua individu berkenaan maut akibat impak.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada jet peribadi itu melanggar mana-mana kenderaan ketika mendarat di lebuh raya tersebut.
Beberapa gambar yang disiarkan di media tempatan menunjukkan bangkai jet peribadi itu terbakar di tepi lebuh raya sehingga menyebabkan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara.
Sementara itu, FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan menyatakan pihaknya akan menyiasat nahas tersebut.
































