Phil Foden sekali lagi menjadi harapan Manchester City untuk mencipta kemenangan ke atas Everton malam ini.
LONDON: Manchester City berpeluang menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk tempoh sekurang-kurangnya beberapa jam jika menewaskan Everton di tempat Etihad malam ini.
Menurut Utusan Malaysia, hatrik Phil Foden ketika menang 3-1 di Brentford, Isnin lalu merupakan kemenangan kelima liga berturut-turut, membolehkan mereka hanya dua mata di belakang Liverpool dengan kelebihan satu perlawanan.
Begitupun kemampuan City menjulang kejuaraan kelima kali ini masih diragui dengan pencabar lain semakin bersemangat untuk menamatkan dominasi skuad kendalian Pep Guardiola.
“Dapat dirasakan situasi itu (pencabar lain turut bersemangat) tetapi Pep Guardiola dan City pastinya tidak akan mengambil mudah setiap perlawanan.
“Apa sahaja boleh berlaku, krisis kecederaan mampu menjejaskan misi mereka dan setiap pasukan mahu mengelakkannya,” kata bekas penyerang Arsenal Alan Smith.
Menurut pakar pengumpulan data Gracenote, City hanya memiliki peluang 57 peratus untuk memenangi gelaran EPL, atas faktor perebutan kali ini sangat sengit menyaksikan persaingan tiga penjuru selepas Arsenal menewaskan pendahulu Liverpool hujung minggu lalu.
Hanya sembilan kali sejak wujudnya Liga Perdana pada 1992 dua mata memisahkan tiga pasukan teratas sekurang-kurangnya dalam 23 perlawanan liga terawal.
Menerusi cara persembahan tiga kelab dan dengan andaian Liverpool mampu bangkit selepas tewas di London, boleh dianggap persaingan paling sengit bakal disaksikan menuju penghujung musim.
Liverpool berharap Everton dapat mencipta kejutan ke atas City walaupun tampak sukar berlaku susulan City tidak tewas dalam 13 aksi liga menentang kelab itu.
Skuad kendalian Jurgen Klopp pastinya mahu bangkit selepas tewas di Arsenal dan aksi menentang kelab bawahan Burnley di tempat sendiri adalah peluang untuk mereka melepaskan geram.
Arsenal yang masih segar dengan kemenangan ke atas Reds dan mendapat pujian pengulas sukan selepas berdepan prestasi merudum pada awal tahun tetapi The Gunners kini tampil lebih mantap untuk menyaingi City dan Liverpool.
































