Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan mahu bekerja lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tahun Naga menurut kalendar Cina membawa maksud kekuatan dan karisma, selain sifat kreativiti dan keyakinan.
“Justeru, bagi membangkitkan semangat prinsip-prinsip universal tersebut, kita sebagai rakyat Malaysia mesti teruskan tekad untuk menjadi masyarakat yang unggul dan madani.
“Di pihak Kerajaan, kerja kita akan lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya. Ekonomi mesti dibangunkan secara saksama, mampan dan berkebajikan, kebejatan (kerosakan) mesti dijauhkan serta perpaduan diperkukuh,” katanya dalam satu hantaran dalam media sosial, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina.
“Semoga perayaan tahun baharu pada tahun ini membawa kebahagiaan yang melimpah dan rezeki yang bertambah,” ujarnya.


































