Penyelidik menggunakan AI untuk membantu membezakan dakwat daripada papirus.
WASHINGTON: Sekumpulan penyelidik berjaya memenangi hadiah wang tunai AS$700,000 (RM3.33 juta) kerana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membaca skrol berusia 2,000 tahun yang hangus semasa letusan Gunung Vesuvius.
Menurut Utusan Malaysia, Penganjur Vesuvius Challenge berkata, papirus Herculaneum mengandungi kira-kira 800 skrol Yunani yang dikarbonisasi semasa letusan gunung berapi 79 CE sehingga menyebabkan bandar Pompeii `ditenggelami’ debu panas dan lahar.
Dilaporkan, skrol itu disimpan di Institut de France di Paris dan Perpustakaan Nasional Naples.
Sebahagian besar skrol itu rosak teruk malah hancur selepas beberapa cubaan dilakukan untuk menggulungkannya.
Sebagai alternatif, penganjur peraduan Vesuvius Challenge melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT) resolusi tinggi terhadap empat skrol dan menawarkan pelbagai hadiah termasuk sejuta dolar untuk meningkatkan penyelidikan mengenainya.
Tiga penyelidik yang memenangi hadiah wang tunai itu merupakan Youssef Nader dari Berlin, Luke Farritor dari Nebraska dan warga Switzerland, Julian Schilliger.
Kumpulan penyelidik itu menggunakan teknologi AI untuk membantu membezakan dakwat daripada papirus dan mengesan huruf Yunani yang hampir tidak boleh dibaca melalui pengecaman corak.
“Beberapa teks ini boleh menulis semula sepenuhnya sejarah zaman penting dunia purba,” kata Pengerusi Persatuan Herculaneum, Robert Fowler kepada majalah Bloomberg Businessweek.
Peraduan itu memerlukan penyelidik untuk mentafsir empat petikan sekurang-kurangnya 140 aksara, dengan 85 peratus daripadanya boleh diperoleh semula.
Tahun lalu, Farritor menyahkod perkataan pertama daripada salah satu skrol yang merupakan perkataan Yunani untuk `ungu’.
Kini, usaha ketiga-tiga penyelidik itu berjaya menyahsulit kira-kira lima peratus daripada skrol tersebut.
“Pengarang skrol itu mungkin merupakan ahli falsafah Philodemus menulis mengenai muzik, makanan dan cara menikmati kehidupan,” kata penganjur peraduan, Nat Friedman di aplikasi X.
Skrol itu ditemukan di sebuah vila dan dipercayai dimiliki oleh bapa mertua Julius Caesar, yang mana kebanyakan hartanya belum digali selain mempunyai perpustakaan yang mungkin mengandungi ribuan manuskrip lagi.
































