Andi (duduk, kiri) dan Dr. Sheikh Muszaphar merakamkan gambar bersama para pendidik yang hadir dalam seminar itu.
TAWAU: ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, usaha untuk menerapkan ilmu berkaitan kemahiran keibubapaan dan juga pembentukan sahsiah anak-anak perlu diperhebatkan dan dilakukan secara berterusan.
Katanya, ini penting bagi memantapkan lagi institusi kekeluargaan ke arah pencapaian yang cemerlang dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Kita melihat terlalu banyak program hiburan melalaikan disajikan kepada masyarakat termasuk di Sabah pada masa ini.
“Pada masa yang sama, kita kekurangan program-program ilmiah terutamanya ilmu berkaitan kemahiran keibubapaan dan juga pembentukan sahsiah anak-anak.
“Jika dilihat pada statistik, terlalu banyak kes-kes perceraian dan perlecehan moral berlaku dalam institusi keluarga.
“Seperti yang kita semua maklum, pembentukan nilai moral yang tinggi bermula daripada rumah,” katanya ketika merasmikan Seminar Soul To Soul – “First Class Muslim” yang diadakan di Dewan SJK (C) Kun Ming, Taman Megah Jaya, di sini, kelmarin.
Seminar yang julung-julung kali dianjurkan di daerah Tawau itu khusus untuk membantu keluarga Malaysia memahami dan mengaplikasikan disiplin Al-Quran dalam kehidupan rumahtangga, kerjaya dan hubungan sesama manusia agar Konsep Malaysia Madani segera tercapai dan menjadi ikhtiar terbaik dalam membangun Malaysia.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk membangun potensi, motivasi dan jatidiri setiap warga dalam masyarakat bermula dari usia kecil sehingga ke peringkat warga emas agar setiap sosok individu menjadi pemangkin kepada kemajuan negara.
Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, memuji Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah kerana tampil dengan inisiatif menganjurkan seminar ini agar kualiti institusi kekeluargaan di Sabah ini dapat ditingkatkan.
“Hanya dengan ilmu kita dapat mengubah kebiasaan dan mengisi kelompongan yang sudah terlalu serius berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
“Selain daripada dapat mempelajari ilmu pembentukan keluarga melalui Taddabur Al- Quran, kita juga berpeluang mendengar perkongsian menguruskan keluarga daripada Tetamu Istimewa yang telah didatangkan khusus untuk seminar ini iaitu Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie, yang juga merupakan Angkasawan Negara kita.
“Menjadi harapan saya agar setiap peserta yang telah berpeluang hadir pada hari ini dapat menimba sebanyak mungkin ilmu yang telah dikongsikan sepanjang seminar ini berlangsung dan dapat mengaplikasikan ilmu ini untuk memantapkan lagi institusi kekeluargaan ke arah pencapaian yang cemerlang dalam pembangunan masyarakat dan negara,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan itu.
Andi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah sebagai penganjur utama dan Soul To Soul Event Management sebagai Penganjur Bersama seminar serta kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan seminar ini.
Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah telah menjadi salah satu pertubuhan bukan kerajaan yang telah mengambil tanggungjawab atas penganjuran seminar ini yang sememangnya satu kelainan dalam mendidik jiwa masyarakat untuk mendahulukan kasih sayang dan rasa kebersamaan dalam apa juga situasi, sama ada susah ataupun senang, tanpa mengira agama dan bangsa., katanya.
“Saya juga mengharapkan agar program seumpama ini akan terus dianjurkan di daerah Tawau bagi membantu kerajaan mengukuhkan institusi kekeluargaan dalam kalangan masyarakat dan menjadikan ilmu sebagai satu keutamaan dalam pembangunan modal insan,” katanya.
































