Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Justeru, katanya, tidak ada keperluan untuk merangka formula baharu.
Menjawab isu dan cadangan berkenaan Pemberian Khas oleh Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Masidi turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telahpun menerima sepenuhnya bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM300 juta untuk tahun 2023 pada 28 November, 2023.
“Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan seterusnya Kerajaan Persekutuan ke atas peningkatan bayaran interim tersebut. Kita yakin dan percaya bahawa Kerajaan Perpaduan yang sedang memerintah dan dengan semangat Malaysia Madani, tuntutan Kerajaan Negeri Sabah akan dihormati dan ditunaikan,” katanya.
Jelajah Dan Eksplorasi Peluang Hasil Baharu
Masidi berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus menjelajah dan mengeksplorasi setiap peluang yang berpotensi untuk dijadikan hasil baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada Cukai Jualan Negeri, hasil komoditi Crude Oil (CO) dan Crude Palm Oil (CPO), kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, corak kehidupan rakyat adalah cerminan pentadbir sesebuah negeri, sambil menambah bagi memastikan taraf dan kualiti kehidupan rakyat sentiasa terjamin, hasil negeri perlulah kukuh dan dipertingkatkan.
“Sehubungan dengan itu, semua kementerian dan jabatan pemungut hasil adalah diseru menyahut cabaran ini dengan melipatgandakan usaha bagi memastikan objektif ini tercapai,” katanya ketika menggulung untuk Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Megenai isu dan cadangan berkenaan Pemberian Khas oleh Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Masidi berkata,
Isu Perbelanjaan Perbekalan
Mengenai Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) yang menyentuh berkenaan ketidakseimbangan pengagihan peruntukan Perbelanjaan Perbekalan yang jauh lebih tinggi daripada Perbelanjaan Pembangunan, Masidi berkata, beberapa Kerajaan sebelum ini telah meneliti dan mencuba untuk melaksanakan Development Biased Budget. Namun disebabkan oleh kekangan kewangan negeri secara menyeluruh, Kerajaan Negeri tidak mampu untuk mengimbangkan atau mencarum lebih banyak kepada Kumpulan Wang Pembangunan daripada Akaun Hasil Disatukan.
Katanya, selain daripada itu, perkara ini telah diwarisi sejak dahulu sehingga kini.
“Seperti yang telah saya bentang dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM808.06 juta adalah untuk Perbelanjaan Emolumen, RM2.203 bilion Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas adalah sebanyak RM1.74 bilion.
“Izinkan saya membuat satu simulasi berkenaan pengagihan peruntukan Perbelanjaan Perbekalan dan Pembangunan. Di bawah Perbelanjaan Khas tersebut terdapat komponen pembangunan yang boleh dipindahkan ke Vot Pembangunan iaitu sebanyak lebih kurang RM1.0 bilion, maka Perbelanjaan Perbekalan akan berkurangan kepada RM3.751 bilion selepas menolak Pencaruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan RM950 juta dan RM1.0 bilion daripada Perbelanjaan Khas. Perpindahan ini akan meningkatkan jumlah perbelanjaan akaun pembangunan kepada RM2.328 bilion berbanding anggaran asal iaitu cuma RM1.328 bilion.
“Jika dicampur keduanya, ini akan menjadikan jumlah keseluruhan Perbelanjaan Perbekalan dan Pembangunan kepada sebanyak RM6.079 bilion. Oleh itu, pengagihan peruntukan kepada Perbelanjaan Pembangunan akan meningkat kepada 38.3 peratus berbanding anggaran asal iaitu sebanyak 21.84 peratus jika dibandingkan dengan RM1.328 bilion yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pembangunan pada tahun hadapan. Sekiranya keupayaan kewangan negeri mengizinkan, kita akan mampu mengimbangi ataupun membentangkan “Development-Biased Budget”.
“Untuk makluman, Kerajaan Negeri sedang merancang dan merangka untuk menyelaraskan semula peruntukan di bawah Vot Perbekalan dan Pembangunan semasa penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 kelak di mana penumpuan pengagihan peruntukan akan diimbangkan di antara Perbelanjaan Perbekalan dengan Pembangunan secara berfasa dan bergantung kepada keupayaan kewangan negeri.”
Isu Perbelanjaan Pembangunan
Mengenai isu dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag) dan Datuk Suhaimi Haji Nasir (ADUN Dilantik), Masidi berkata, Kerajaan Negeri mengakui bahawa peratusan perbelanjaan bagi Perbelanjaan Pembangunan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan masih lagi rendah pada bulan Oktober 2023.
Menurutnya, setakat 31 Oktober 2023, peruntukan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM3.513 bilion bersamaan dengan 66.77 peratus dibanding dengan peruntukan disemak.
“Sebenarnya daripada perbelanjaan disemak RM5.262 bilion tersebut, hanya RM1.501 bilion sahaja projek yang dilaksanakan oleh Jabatan atau Agensi di bawah Kerajaan Negeri yang telah mencapai prestasi perbelanjaan sebanyak 66.09 peratus iaitu bersamaan RM992 juta setakat 31 Oktober 2023.
“Secara keseluruhannya, projek-projek yang telah didaftarkan di dalam myprojek melibatkan sebanyak 1217 buah projek iaitu 996 projek sambungan dan 221 projek baharu.
“Untuk makluman, perbelanjaan bagi projek sambungan telah mencecah RM3.338 bilion ataupun 63.66 peratus setakat 31 Oktober 2023. Kerajaan Negeri yakin bahawa prestasi perbelanjaan ini akan meningkat lagi menjelang bulan Disember 2023.
“Manakala bagi projek yang berstatus baharu ataupun masih berada dalam pra pelaksanaan pula, projek-projek ini tidak memerlukan peruntukan yang banyak kerana ia hanya melibatkan kerja-kerja awalan dan mengambil masa lebih kurang enam hingga 12 bulan untuk penyediaan dan pelaksanaan projek. Dalam fasa ini, keperluan peruntukan Kerajaan Negeri adalah jauh lebih rendah berbanding peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Peruntukan yang disalurkan yang berjumlah RM1.259 bilion hanya dapat dibelanjakan sebanyak RM175.24 juta ataupun 13.92 peratus sahaja.,” jelasnya.
Katanya, mengikut prestasi perbelanjaan bagi projek yang dilaksanakan oleh jabatan atau agensi Kerajaan Negeri, prestasi perbelanjaan negeri adalah konsisten mencapai 80 peratus ke atas setiap tahun. Ini menunjukkan bahawa prestasi jabatan atau agensi Kerajaan Negeri adalah agak baik dalam melaksanakan projek pembangunan Persekutuan.
“Bagi membantu meningkatkan keberkesanan dan prestasi pelaksanaan projek Persekutuan, Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri telah diadakan secara sukuan tahun berfungsi untuk menyelaras, memperbaiki dan memantau isu-isu pelaksanaan projek pembangunan biayaan Persekutuan tersebut.
“Untuk makluman, peruntukan yang dibentangkan iaitu sebanyak RM6.5 bilion telah disemak penggunaannya kepada RM5.262 bilion pada bulan Jun 2023 oleh Kerajaan Persekutuan. Ini bertujuan untuk menjaga prestasi perbelanjaan setiap Kementerian Persekutuan,” katanya.
Isu Kelewatan Permohonan Kewangan
Berhubung isu yang dibangkitkan oleh Suhaimi dan Ahli Parlimen Kota Belud pada sidang Parlimen tentang kelewatan Kementerian Kewangan Negeri (MOF) menghantar permohonan dan maklum balas berkenaan pengeluaran Pinjaman Persekutuan., Masidi menjelaskan bahawa kenyataan ini adalah kurang tepat.
Beliau meminta agar semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang mewakili Sabah untuk mendapatkan maklumat yang lengkap dan sahih sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan imej Sabah.
“Adalah diakui terdapat kesilapan atau terlepas pandang oleh jjbatan-jabatan pemohon iaitu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS) dalam permohonan pengeluaran pinjaman pada tahun lepas.
“Namun, proses ini telah ditambah baik di peringkat Jabatan bagi mengelakkan perkara ini daripada berulang. Perlu juga saya perjelaskan, MOF hanyalah selaku pengantara bagi kedua-dua Jabatan berkenaan.
“Kerajaan Negeri telah menghantar permohonan tersebut kepada Kerajaan Persekutuan pada bulan Oktober tahun 2022. Walau bagaimanapun Kerajaan Persekutuan telah membuat sekatan peruntukan seawal bulan Ogos 2022.
“Bagi mengelakkan masalah yang sama berulang, Kementerian Kewangan Sabah telah menganjurkan bengkel pada awal tahun ini bertujuan untuk memperbaiki sebarang kekurangan ataupun kelemahan pada pemprosesan permohonan Pinjaman Persekutuan. Hasil daripada bengkel tersebut, terdapat peningkatan dari segi kecekapan oleh pihak JANS dan JPPS dalam mengemukakan permohonan pengeluaran Pinjaman Persekutuan. Inisiatif ini dilaksanakan untuk memastikan agar semua syarat Kerajaan Persekutuan ditepati dalam setiap permohonan pengeluaran pinjaman yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.
Tambah Baik GLC
Sementara itu, Masidi berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kewangan sedang dalam pelaksanaan Rancangan Penambahbaikan Tatakelola dan Tadbir Urus Agensi Awam Negeri. Pelaksanaan ini termasuk membawa masuk juruaudit pakar untuk menjalankan audit dan kajian semula ke atas syarikat-syarikat GLC yang bermasalah.
Beliau merujuk kepada cadangan daripada Suhaimi, Datuk Raime Unggi (ADUN Dilantik) dan Assaffal P Alian (Tungku) mengenai inisiatif ke atas GLC.
Masidi berkata, pemeriksaan teliti ke atas penyata kewangan ini akan dapat membantu Agensi Awam Negeri mengenalpasti risiko dan mencari jalan sama ada mempertahankan atau membaik pulih perniagaan dan aktiviti yang dijalankan.
Katanya, sebagai jentera yang membantu Kerajaan Negeri meningkatkan hasil melalui pulangan pelaburan, beberapa inisiatif akan dilaksanakan pada tahun hadapan, iaitu:
(a) Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) adalah mengikut kriteria berdasarkan pengalaman, profesionalisme, kelayakan dan kompeten. Ini bertujuan untuk memastikan adanya check and balance dalam setiap pelantikan Ahli Lembaga Pengarah.
(b) Melaksanakan Sistem Score Card sebagai penanda aras prestasi yang membantu Kerajaan memantau dan meningkatkan akauntabiliti Ahli Lembaga Pengarah yang telah dilantik.
(c) Melaksanakan Sistem Merit Demerit sebagai strategi pemantauan Agensi Awam Negeri dan menguatkuasakan peraturan serta undang- undang melalui Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Pematuhan Tadbir Urus Korporat bagi memastikan aktiviti Agensi Awam dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan berkesan. Pelaksanaan sistem-sistem ini bertujuan untuk memantapkan lagi State Company Information System (SCIS) sedia ada.
(d) Menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Pelaburan dan Pinjaman Agensi Awam Negeri untuk memastikan pelaburan yang dilaksanakan dapat memberi pulangan yang menguntungkan, membantu Agensi Awam Negeri merealisasikan cadangan perniagaan yang berpotensi dan memastikan kepentingan Kerajaan Negeri terjaga.
(e) Mewartakan Agensi Awam Negeri untuk pengauditan agar dapat memberi gambaran Kedudukan Kewangan yang benar dan saksama dan rekod kewangan mengenainya diselanggarakan dengan teratur dan kemas kini. Bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menilai sama ada pengurusan kewangan di Agensi Awam Negeri telah dilaksanakan secara telus dan berintergriti mengikut undang- undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.
Menjawab pertanyaan Dr. Yusof, Masidi berkata, Kerajaan Negeri melalui Pekeliling Kewangan Bilangan 7 tahun 2001, mengenai Dasar dan Garis Panduan Bayaran Dividen oleh syarikat-syarikat GLC Kerajaan Negeri, menetapkan bahawa syarikat Kerajaan Negeri perlu membayar sekurang-kurangnya 10 peratus dividen daripada keuntungan syarikat kepada Kerajaan Negeri.
“Justeru, saya ingin menekankan bahawa sekiranya keuntungan lebih (exceed profit) diperolehi bagi sesuatu tahun kewangan, peratusan dividen tersebut perlu ditingkatkan ke tahap yang paling tinggi tanpa menjejaskan kedudukan kewangan syarikat.
“Bagi memastikan pembayaran dividen daripada setiap GLC dilaksanakan, Kerajaan Negeri juga akan menambah baik pekeliling mengenai pembayaran dividen dan Buku Kod Tadbir Urus Badan-badan Berkanun,” katanya, sambil menambah Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan ke atas GLC Kerajaan Negeri yang mengalami kerugian.
Kerana itu, beliau menyarankan supaya setiap GLC mengambil inisiatif untuk memperbaiki prestasi kewangan syarikat agar dapat memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri.
Sementara itu, DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 yang dibentangkan oleh Masidi bagi pengeluaran sebanyak RM5,463,134,823 bagi perbelanjaan basa daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2024
































