Masiung (kiri) bersama ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang yang juga Pengerusi SEDCO pada persidangan DUN Sabah.
KOTA KINABALU: Kerja-kerja fasa pertama pembinaan Kilang Bersepadu Klinker dan Simen yang melibatkan nilai pelaburan RM2 bilion di daerah Tongod dijangka akan dimulakan pada pertengahan tahun depan.
Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd, Datuk Masiung Banah berkata, fasa awal itu membabitkan kerja-kerja membina jalan raya aspal dan pembangunan kilang.
“Fokus utama pemaju ialah membina terlebih dahulu pencawang elektrik dan telekomanikasi selain membina loji rawatan air bersih,” katanya semasa menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Pada Selasa, Menteri Pembangunan Perindusterian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe memberitahu DUN bahawa Sabah menerima pelaburan RM2 bilion bagi membangunkan Kilang Bersepadu Klinker dan Simen di Tongod yang diumumkan oleh.
Masiung yang juga ADUN Kuamut berkata, pembinaan kilang ini akan melalui dua fasa dan dijangka mampu menghasilkan 1.75 juta tan simen setahun.
Katanya, kewujudan kilang ini dijangka mewujudkan 1,000 pekerjaan kepada warga tempatan selain membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat.
Apabila beroperasi sepenuhnya nanti, kilang ini dijangka memenuhi keperluan semasa industri pembinaan serta dapat mengeksport ke negara-negara Asia.
Menurut Masiung, projek tersebut bakal mentransformasikan daerah Tongod selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kemiskinan dengan membawa masuk projek yang berimpak tinggi.
Pada 3 Ogos lalu, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Sri Alam.Setia Sdn. Bhd. telah menandatangani Perjanjian Usahasama (JVA) untuk menubuhkan Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd.
































