Dr. Joachim berbual dengan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri PertanIan, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan pada persidangan DUN hari ini.
KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sedang giat membina sebanyak 27 unit rumah kos rendah di Bandar Baharu Ulu Dusun, Batu 32 “Check Point” sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosio ekonomi di kawasan tersebut.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kerja-kerja pembinaan rumah tersebut setakat ini telah mencapai 98 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Katanya, setakat ini hanya pihak Sedcovest Sdn. Bhd. dan LPPB sahaja telah membangunkan tapak yang diperuntukkan melalui pembinaan R & R / Gerai MPPB Sedcovest dan Program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di bandar baharu tersebut.
“Gerai Sedcovest telah siap pada tahun 2005 dan telah beroperasi sepenuhnya,” katanya kepada Datuk Suhaimi Haji Nasir (ADUN Dilantik) yang bertanya status terkini projek pembangunan bandar baharu tersebut yang dikendalikan LPPB; dan berapa jumlah jabatan/agensi kerajaan yang diperuntukan tapak di pekan itu telah melaksanakan pembangunan atau bangunan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Dr. Joachim berkata, LPPB selaku agensi pelaksana bandar-bandar baharu di seluruh negeri Sabah di bawah Enakmen LPPB No.20 Tahun 1981 bersama jabatan/agensi Kerajaan Negeri atau Persekutuan yang diperuntukkan tapak di bandar baharu Ulu Dusun telah merancang dan sedang giat melaksanakan program-program pembangunan secara berperingkat-peringkat tertakluk kepada kelulusan peruntukan kewangan di dalam Rancangan Lima Tahun Malaysia.
Beliau berkata, jabatan/agensi kerajaan yang diperuntukkan tapak, jabatan/agensi Kerajaan Negeri atau Persekutuan yang telah diperuntukkan tapak di bandar baharu ini ialah seperti Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Sedcovest Holding Sdn Bhd (Gerai Bumiputera), Perkasa Realty Sdn Bhd (Kedai Sosio Ekonomi Bumiputera), Balai Bomba dan Penyelamat, Balai Polis, Klinik Kesihatan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri Sabah (JPP), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan tapak simpanan kerajaan.


































