Hendrus (kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan melalui Jabatan Pertanian Sabah telah merangka pelan tindakan jangka pendek untuk memperkasakan pembangunan rantaian tanaman makanan bagi keterjaminan makanan Sabah.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding berkata, antarannya ialah penerapan agroteknologi seperti Internet of Things (IoT), automasi dan mekanisasi secara berterusan melalui kempen seperti Festival Agrotek, Kursus Desiminasi Teknologi Tanaman dan Kursus Teknikal Pertanian.
Kedua, katanya, Jabatan Pertanian menyediakan program pakej pembangunan tanaman makanan yang meliputi pemberian insentif bahan tanaman, penyediaan kawasan, input pertanian dan peralatan ladang bernilai anggaran RM8,000.00 hingga RM10,000.00 per hektar serta infrastruktur asas seperti jalan ladang, perparitan, stor penyimpanan dan pusat pengumpulan hasil.
Setakat tahun 2023, seluas 93 hektar melibatkan 93 orang petani telah berjaya dibangunkan dengan tanaman kontan seperti halia dan keladi serta tanaman sayuran tanah rendah dan tanah tinggi.
“Mengekalkan sawah padi yang aktif bertanam seluas 24,000 hektar dengan anggaran jumlah pengeluaran 82,500 metrik tan padi.
“Pembangunan tanaman padi melibatkan insentif pemberian subsidi pembajakan sebanyak RM494.00 per hektar, pemberian input pertanian melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bernilai RM1,307.20 per hektar, subsidi harga jualan beras oleh BERNAS bernilai RM500.00 per tan.
“Selain itu, Jabatan juga mempunyai program pemberian insentif baja NPK Green dan NPK Blue bernilai RM600.00 per hektar untuk tanaman jangka panjang dalam tempoh 3 tahun bagi meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran,” katanya kepada Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian (Tungku) yang bertanya apakah pelan tindakan jangka panjang dan jangka pendek Kerajaan Negeri terhadap keterjaminan (sekuriti) makanan Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Hendrus berkata, ketiga, meningkatkan penggunaan varieti tanaman berhasil tinggi (HYV) yang dihasilkan oleh Jabatan melalui kempen dan promosi seperti penggunaan benih padi, durian Sabah Big Thorn, kelapa MATAG, avokado QAV1, QAV2 dan QAV3, nanas Sabah Volcanic Sweet (SVS) dan kopi tanah tinggi Catimor LSC1.
Menerapkan penggunaan teknologi pertanian terkini dalam projek-projek sedia ada seperti penanaman dalam Struktur Pelindung Hujan (SPH) dan penggunaan sistem pertanian pintar yang merangkumi aktiviti operasi di ladang seperti penyiraman, pembajaan dan kawalan penyakit/perosak serta kondisi tanaman/tanah dipantau menggunakan aplikasi dalam telefon bimbit.
“Kelima, melaksanakan Program Kebuniti Madani yang menggalakkan individu atau komuniti terlibat dalam pengeluaran makanan secara mampan dan keenam, penerapan Amalan Pertanian Baik melalui pensijilan myGAP dan myOrganic bagi memastikan pengeluaran hasil adalah berkualiti.
“Ketujuh, pembangunan produk hiliran berasaskan tanaman makanan bagi meningkatkan nilai tambah produk,” katanya.
Hendrus berkata, Kementerian melalui Jabatan Perikanan Sabah mengambil pelbagai langkah dan inisiatif untuk mengatasi dan menstabilkan keterjaminan makanan (food security) di Sabah dengan memberikan pelaksanaan seperti berikut:
1. Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan
2. Subsidi Minyak Diesel/Petrol
3. Skim Bantuaan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan 4. Bantuan Sistem Ternakan Perikanan
5. Bantuan Fasiliti Sokongan Ternakan
“Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah terutamanya golongan belia menceburi bidang akuakultur, Jabatan Perikanan juga menyediakan Program Pembangunan Modal Insan melalui kursus dan latihan akuakultur marin/air tawar, Program Pendedahan Teknikal, Demo Teknikal di Lapangan & latihan sangkut kepada para belia yang ingin menceburi bidang perikanan,” jelasnya.
Beliau berkata, Kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah melaksanakan pelbagai pelan tindakan untuk mengatasi isu keterjaminan makanan (food security) seperti berikut:
1. Bagi komoditi unggas, DVS Sabah telah bekerjasama dengan MARDI untuk membangunkan Ladang Pembiakbakaan Ayam Saga di Bantayan.
2. Mempelbagaikan sumber protein dalam sektor unggas melalui program agihan itik jantan secara percuma di beberapa daerah termasuk Sook, Kinabatangan, dan Kiansom.
3. Memperluas penternakan lembu secara fidlot iaitu membangunkan semula ladang mega ternakan lembu di Balung, Tawau bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan.
4. Penyediaan fasiliti asas di Pig Farming Area (PFA) Tongod yang akan menjadi pusat utama untuk pembiakan dan pengeluaran daging khinzir di Sabah.
5. Bekerjasama dengan beberapa pusat pengajian tinggi awam seperti UMK, UMS, UPM dan Kolej Vokasional Lahad Datu dalam mencari sumber makanan alternatif tempatan dan memberikan latihan pengurusan makanan kepada para penternak.
6. DVS Sabah telah mengenal pasti lima kawasan tanah jabatan yang berpotensi untuk membangunkan foodbank iaitu di Papar, Kota Marudu, Tenom, Keningau dan Semporna bagi memudahkan para penternak untuk mendapatkan bekalan rumput makanan haiwan ternakan.
“Kementerian saya melalui KO-NELAYAN telah menyediakan Pelan Keterjaminan Makanan jangka pendek melalui tiga sub sektor utama iaitu perikanan, akuakultur dan hiliran,” jelasnya.
Beliau berkata, melalui sub-sektor perikanan terdapat dua program jangka pendek yang sedang dilaksanakan iaitu:
i. Menyediakan pembiayaan kewangan melalui Program Kredit Mikro, Skim Bantuan Nelayan (i-NELAYAN) kepada 50 orang nelayan setahun berupa peralatan menangkap ikan seperti bot, enjin sangkut, pukat dan tong ikan;
ii. Inisiatif melebar luas potensi aksesibiliti penangkapan ikan melalui teknologi satelit yang dilaksanakan melalui Program Nelayan Digital dengan memberikan latihan kepada 70 orang nelayan di seluruh Sabah dalam setahun untuk mereka mahir menggunakan aplikasi Sabah Mobile Artisanal Remort Technology (e-SMART). E-SMART dibangunkan oleh KO- NELAYAN dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Dengan teknologi ini nelayan pesisir pantai akan dapat mengenalpasti kawasan berpotensi menangkap ikan yang dengan itu mengurangkan kos perjalanan dan berpotensi untuk meningkatkan hasil tangkapan.
Melalui sub-sektor akuakultur, Hendrus berkata, terdapat tujuh program jangka pendek yang sedang dan akan dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur iaitu:
1. Program Pengeluaran Benih Ikan Marin dengan pengeluaran benih ikan kerapu sehingga 120,000 ekor pada tahun 2025 yang akan dibekalkan kepada pengusaha kecil di seluruh Sabah;
2. Skim Bantuan pengusaha Akuakultur (i-AKUAKULTUR) memberikan pembiayaan kewangan dalam bentuk kredit mikro kepada pengusaha akuakultur di seluruh Sabah untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran hasil ternakan;
3. Program Internet of Things (IoT) iaitu galakkan kepada pengusaha untuk menggunakan teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan penternakan dan berupaya meningkatkan pengeluaran hasil ternakan;
4. Pemindahan Teknologi Nano Bubble kepada pengusaha akuakultur melalui latihan pengenalan. Teknologi ini membekalkan gelembung udara nano kepada media ternakan yang berupaya meningkatkan oksigen terlarut dalam dan akan dapat mengurangkan kadar kematian ternakan serta meningkatkan pengeluaran hasil ternakan pengusaha;
5. Latihan pembangunan modal insan melalui kursus upskilling/reskilling pelbagai bidang perikanan, akuakultur dan hiliran perikanan dikendalikan oleh Pusat Latihan Akuakultur KO-NELAYAN (KATC) di Tuaran dengan tujuan meningkatkan serta memantapkan pengetahuan teknikal di kalangan kumpulan sasar. Sebanyak 20 kursus upskilling/reskilling dianjurkan setiap tahun yang akan memberi manfaat kepada 430 orang nelayan, pengusaha akuakultur dan pengusaha hiliran perikanan di seluruh Sabah;
6. Program Latihan Keusahawanan Belia dan AkuaSis khusus kepada 10 orang belia dan 5 orang siswazah menganggur dalam setahun yang dilaksanakan di KATC. Latihan Keusahawanan dilaksanakan selama tiga bulan sebelum pelatih ditawarkan pembiayaan kewangan kredit mikro i- AKUAKULTUR dan i-USAHAWAN untuk memulakan perusahaan dalam bidang akuakultur; dan
7. Program Advokasi Teknikal dan Tracer Study untuk memberikan nasihat teknikal kepada pengusaha-pengusaha kecil serta memantau dan menilai pengeluaran hasil perusahaan mereka yang memberi sumbangan kepada keterjaminan makanan. Manakala Tracer Study adalah kajian kebolehpasaran lepasan latihan kemahiran TVET yang telah berkecimpung dalam bidang pengeluaran makanan.
Hendrus berkata, Kementeriannya melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) juga memperkasakan pelaksanaan Program Perladangan Kontrak bagi Projek Ternakan Ayam Pedaging dengan kekerapan pusingan penternakan ayam iaitu daripada lima pusingan kepada enam pusingan setahun.
Katanya, Kementerian melalui LIGS telah mengambil beberapa langkah proaktif seperti berikut:
1. Usaha Pengukuhan Rantaian Bekalan Makanan Tempatan seperti penanaman nanas MD2 dalam kalangan pekebun kecil getah.
2. Subsidi dan insentif kepada para pekebun kecil getah untuk menggalakkan pengeluaran makanan seperti bantuan benih, baja, dan teknologi pertanian yang lebih canggih.
3. Latihan dan Pembangunan Kemahiran untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti pertanian.
4. Menyediakan infrastruktur pertanian yang baik seperti jalan pertanian dan fasiliti penyimpanan untuk mengurangkan kerugian pasca-tuai dan meningkatkan akses ke pasaran.
Bagi pelan tindakan jangka panjang, katanya, Kementerian melalui Jabatan Pertanian Sabah juga merangka strategi seperti berikut:
1. Zon tumpuan pengeluaran makanan (KTPM) di setiap zon contohnya pantai barat utara sebagai zon tanaman padi, kelapa dan jagung.
2. Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Organik di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ulu Bole seluas 174 hektar dan kawasan Buayan, Penampang seluas 1,300 hektar manakala di Kg. Long Pasia seluas 2,800 hektar untuk kluster pengeluaran padi premium.
3. Program Pemulihan Tanaman Kelapa melalui penanaman semula dan pemulihan tanaman kelapa terbiar dengan pemberian baja untuk meningkatkan produktiviti seluas 15,000 hektar di Sabah.
4. Sabah sebagai Hub Avokado dengan keluasan penanaman avokado seluas 1,000 hektar di Tenom, Keningau, Tawau, dan Sandakan menjelang tahun 2030. Setakat ini, negeri Sabah mempunyai keluasan 134 hektar tanaman avokado yang merupakan terluas di Malaysia.
5. Memperkukuhkan industri hiliran bagi menghasilkan pelbagai produk nilai tambah berasaskan tanaman seperti kelapa, nanas dan durian untuk tujuan memperkukuhkan rantaian pengeluaran tanaman makanan.
6. Kolaborasi pembangunan sektor pertanian dengan agensi/swasta seperti Pembangunan Tanaman Kelapa seluas 834 hektar oleh Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn. Bhd. (MKIC), Sawit Kinabalu Sdn. Bhd. seluas 100 hektar tanaman padi sawah, Koperasi Pertanian Sabah Berhad seluas 50 hektar dengan tanaman kelapa Tacunan, avokado dan durian.
7. Penglibatan belia dan beliawanis dalam sektor pertanian seperti Program Latihan Kemahiran dalam bidang pertanian dan Keusahawanan, Program Bantuan Insentif Lepasan Pelatih Pusat Latihan Pertanian Bersepadu (IATC) Putatan, Program Geran Agropreneur Muda (GAM), Program Peningkatan Kualiti dan Pembungkusan Produk serta Projek Pembangunan Tanaman Makanan.
8. Arahan Pembangunan Tanaman Makanan oleh Kerajaan Negeri memperuntukkan sebahagian tanah masing-masing bagi tujuan penanaman tanaman makanan terutamanya tanaman padi.


































