KUALA LUMPUR (Bernama): Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 43.4 peratus tahun ke tahun kepada RM354.0 bilion pada Ogos 2026 berbanding RM246.8 bilion pada Ogos 2025, disokong pertumbuhan dua angka yang berterusan dalam eksport dan import.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan eksport meningkat 45.5 peratus tahun ke tahun kepada RM191.0 bilion, manakala import meningkat 41.1 peratus kepada RM163.0 bilion.
“Suhubungan itu, lebihan dagangan meningkat 77.1 peratus kepada RM28.1 bilion,” katanya dalam kenyataan penerbitan Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia, Ogos 2026 hari ini.
DOSM memaklumkan prestasi eksport Malaysia pada bulan berkenaan disokong pertumbuhan dua angka dalam eksport domestik dan eksport semula.
Eksport domestik, yang menyumbang 79.0 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 46.0 peratus kepada RM151.0 bilion.
Eksport semula, yang menyumbang 21.0 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 43.3 peratus kepada RM40.1 bilion.
Import turut mencatatkan pertumbuhan kukuh, meningkat 41.1 peratus kepada RM163.0 bilion.
“Susulan itu, lebihan dagangan meningkat 77.1 peratus kepada RM28.1 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan dagangan untuk bulan ke-76 berturut-turut sejak Mei 2020,” menurut DOSM.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing menurun 1.3 peratus, 4.7 peratus dan 2.9 peratus berbanding Julai 2026.
Sementara itu, lebihan dagangan meningkat 24.7 peratus atau RM5.6 bilion.
Mengikut kumpulan komoditi, sebanyak 136 daripada 258 kumpulan komoditi eksport dan 142 daripada 258 kumpulan komoditi import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan eksport terutama disokong penghantaran yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat berjumlah RM21.2 bilion, diikuti Singapura (RM11.3 bilion), Taiwan (RM7.2 bilion), Hong Kong (RM5.3 bilion), China (RM3.4 bilion), Jepun (RM3.0 bilion) dan Kesatuan Eropah (RM2.3 bilion),” menurut DOSM.
Sementara itu, peningkatan import terutama disumbangkan oleh aliran masuk yang lebih tinggi dari China berjumlah RM16.9 bilion, diikuti Taiwan (RM8.8 bilion), Singapura (RM7.0 bilion), Korea Selatan (RM5.9 bilion), Vietnam (RM1.8 bilion), Jepun (RM1.1 bilion) dan Emiriah Arab Bersatu (RM1.1 bilion).
Pertumbuhan eksport dipacu oleh penghantaran lebih tinggi produk elektrik dan elektronik (E&E) berjumlah RM36.9 bilion, keluaran perkilangan lain (RM13.7 bilion), gas asli cecair (RM2.1 bilion), produk petroleum (RM2.0 bilion), jentera, kelengkapan dan bahagian (RM1.9 bilion) serta barangan perkilangan logam (RM1.7 bilion).
Begitu juga, peningkatan import didorong oleh aliran masuk produk E&E (RM38.3 bilion), petroleum mentah (RM3.1 bilion), produk petroleum (RM2.2 bilion), jentera, kelengkapan dan bahagian (RM2.2 bilion), barangan perkilangan logam (RM1.2 bilion) serta peralatan optik dan saintifik (RM1.1 bilion).
Mengikut Penggunaan Akhir, DOSM memaklumkan peningkatan import didorong terutamanya oleh barangan perantaraan dan barangan modal.
Import barangan perantaraan, yang menyumbang 55.6 peratus daripada jumlah import, meningkat 50.5 peratus atau RM30.4 bilion kepada RM90.7 bilion.
Import barangan modal, yang menyumbang 13.3 peratus daripada jumlah import, meningkat 37.4 peratus atau RM5.9 bilion kepada RM21.6 bilion.
Bagaimanapun, import barangan penggunaan, yang menyumbang 5.7 peratus daripada jumlah import, menurun 1.6 peratus atau RM153.6 juta kepada RM9.3 bilion berbanding Ogos 2025.
DOSM memaklumkan jumlah dagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 meningkat 27.0 peratus kepada RM2.5 trilion berbanding RM2.0 trilion dalam tempoh sama 2025, didorong pertumbuhan kukuh eksport sebanyak 31.2 peratus dan import sebanyak 22.4 peratus.
Lebihan dagangan turut meningkat 127.6 peratus kepada RM198.7 bilion.
“Secara keseluruhan, prestasi perdagangan Malaysia bagi tempoh lapan bulan pertama 2026 kekal berdaya tahan, disokong pertumbuhan berterusan dalam eksport dan import.
“Prestasi kukuh itu terutama didorong terutamanya oleh produk E&E, selain peningkatan perdagangan dengan rakan dagang utama,” menurut DOSM. — BERNAMA


































