Hajiji menyaksikan penyerahan laporan Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah daripada Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong (tiga dari kiri) kepada Zainudin (dua dari kanan). Turut kelihatan Masidi, Ketua Pegawai Eksekutif SMJE, Datuk Dr. Dionysia Kibat (dua dari kiri) dan Lo (kiri).
KOTA KINABALU: Bekalan gas Sabah dijangka hampir berganda daripada 700 juta kaki padu piawai sehari (MMscfd) kepada 1,350 MMscfd menjelang 2030, didorong tujuh projek pembangunan luar pesisir membabitkan dua syarikat minyak antarabangsa dan empat syarikat minyak Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.
Projek berkenaan, termasuk pembangunan empat medan gas baharu, merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi memenuhi permintaan tenaga dan industri yang semakin meningkat.
Mengalu-alukan perkembangan terbaharu itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyifatkannya sebagai bukti hubungan kerjasama erat antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri dalam meneruskan pertumbuhan pembangunan sumber minyak dan gas di Sabah.
“Strategi ini menyediakan pelan pelaksanaan yang jelas bagi memastikan bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” katanya selepas menyaksikan penyerahan laporan daripada SMJ Energy (SMJE) dan PETRONAS kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman di Hotel Hilton di sini hari ini.
Laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 serta Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah menggariskan strategi penghantaran susulan kajian oleh Pasukan Petugas Bersama Strategi Gas Sabah, hasil kerjasama agensi Kerajaan Negeri yang diketuai SMJ Energy dan PETRONAS.
Berdasarkan laporan berkenaan, permintaan terhadap tambahan bekalan gas itu akan didorong oleh loji jana kuasa baharu dan kemudahan gas asli cecair terapung ketiga PETRONAS (PFLNG3).
Ia turut merangkumi pelaburan pembuatan baharu di sepanjang koridor Pantai Barat, yang merentangi Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang serta terminal gas Labuan.
Sementara itu, Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah mengesahkan bahawa kelompok medan gas Mutiara di luar pesisir Sandakan boleh dibangunkan bagi membekalkan gas kepada loji jana kuasa berasaskan gas baharu di Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan serta menukar stesen Sabah Electricity di Batu Sapi daripada diesel kepada turbin berasaskan gas.
Buat pertama kali, Pantai Timur akan menjana kuasa berasaskan gas sendiri dan tidak lagi bergantung kepada penghantaran elektrik dari Pantai Barat.
Ketua Menteri berkata, strategi itu turut membuka peluang kepada pembangunan industri berasaskan gas di Sandakan dan kawasan Pantai Timur yang lebih luas.
Beliau turut mengiktiraf PETRONAS kerana menerajui kerja teknikal berkenaan dengan kerjasama SMJE, Sabah Energy Corporation (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Pengerusi SMJE, serta Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif SMJE, Datuk Albert Lo.
































