Jamawi (kiri) bersalaman dengan Dr. Zhu Xinglong.
KOTA KINABALU: Sabah dan Republik Rakyat China berhasrat memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian, perikanan, akuakultur, perdagangan, pelaburan dan pembangunan agromakanan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong di Wisma Pertanian Sabah di sini, hari ini.
Kunjungan itu bertujuan memperkukuh hubungan serta kerjasama sedia terjalin antara Sabah dan China, khususnya dalam bidang agromakanan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah peluang memperluas akses pasaran bagi produk pertanian, hasil perikanan serta produk makanan terproses dari Sabah ke pasaran China.
Perbincangan turut meliputi ruang kerjasama dalam pemodenan sektor pertanian, perikanan dan akuakultur Sabah melalui pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta amalan terbaik dalam sektor agromakanan.
Peluang menarik pelaburan strategik dan memperkukuh kerjasama ekonomi turut dibincangkan bagi menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang baharu khususnya di kawasan luar bandar.

Jamawi (tengah) bergambar bersama dengan Dr. Zhu Xinglong (empat dari kanan) dan semua yang hadir dalam kunjungan hormat itu.
Dalam pertemuan itu, Jamawi turut menegaskan bahawa Kerajaan Sabah menghormati Dasar Satu China (One-China Policy), selaras dengan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata, pendirian itu mencerminkan komitmen Sabah untuk terus memelihara hubungan baik dan saling menghormati dengan Republik Rakyat China, khususnya dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian, perikanan, perdagangan, pelaburan, teknologi dan pembangunan sektor agromakanan.
Pada masa sama, kerjasama antara Sabah dan rakan-rakan dari China akan terus dilaksanakan berdasarkan kepentingan bersama, prinsip saling menghormati serta kerangka dan dasar yang ditetapkan Kerajaan Malaysia.
Turut hadir Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts. Jifrin Haji Mohamad; Timbalan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Xue Xiaoning; Naib Presiden dan Timbalan Presiden Malaysia-China Chamber of Commerce (Sabah Branch), Louis K. F. Su dan Dr. Tan Kai Lee serta Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Yee Tsai Yiew, bersama pegawai kanan MAFFI dan delegasi Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu.
































