Dr. Joachim disambut oleh Malianah (tengah) dan pemimpin Pergerakan Wanita PBS lain semasa ketibaan beliau.
PENAMPANG: Pergerakan Wanita PBS mengesa agar lebih ramai kaum wanita di negeri ini dilantik ke jawatan penting seperti Ahli Lembaga Pengarah (ALP) syarikat milik kerajaan (GLC) dan Ketua Pemegang Adat di Mahkamah Anak Negeri (MAN).
Ketua Wanita PBS, Datin Malianah Ugau berkata, beliau yakin ada di kalangan kepimpinan Wanita PBS yang berkelayakan, berkredibiliti dan berupaya untuk mengalas tanggungjawab tersebut apabila dan bilamana diberi peluang.
Menurutnya, pengiktirafaan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan mula dikuatkuasa dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) menerusi dasar yang mensasarkan 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam dan seterusnya diperkenalkan sasaran ini di sektor swasta pada RMK11.
Katanya, peratusan wanita sebagai pembuat keputusan di sektor swasta masih rendah iaitu 22 peratus berbanding sektor awam yang kini sudah mencatat pencapaian 38 peratus.
“Justeru, sebagai langkah memperkasakan pengiktirafan wanita di semua sektor, Pergerakan Wanita begitu tertarik dan amat bersetuju dengan cadangan Pengerusi WIF (Yayasan Kepimpinan Wanita) baru-baru ini agar sasaran 30 peratus wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah di syarikat dapat dijadikan dasar,” katanya dalam ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Kongres PBS kali ke-38, di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.
Memperkasa wanita
Pergerakan Wanita PBS juga mengesa agar satu undang-undang khusus diwujudkan bagi menangani diskriminasi berkaitan kehamilan.
Malianah berkata, pelbagai kekangan masih dihadapi oleh kaum wanita dalam mencapai kesaksamaan gender di tempat kerja dan kajian WAO (Women Aid Organisation) mendapati bahawa 40 peratus responden wanita mempunyai pengalaman diskriminasi tempat kerja disebabkan mereka hamil.
Tambahnya, ini dianggap sebagai kekangan tertinggi dimana para wanita disebabkan mereka hamil dinafikan peluang kenaikan pangkat; atau diturunkan pangkat malah yang lebih tragis dibuang kerja.
“Kajian juga mendedahkan 20 peratus responden wanita mengalami pengalaman di mana permohonan kerja ditolak atau tawaran kerja ditarik balik selepas mendedahkan status kehamilan mereka.
“Dalam hal ini perundangan yang sedia ada tidak mencukupi untuk melindungi wanita sedemikian,” ujarnya.
Perkenal subjek untuk golongan Undi18
Pergerakan Wanita juga mengesa agar golongan Undi18 diberi pendedahan pendidikan pengundi secara formal dengan memperkenalkan subjek ini khusus di peringkat sekolah.
Malianah berkata, pilihan raya negeri (PRN) kali ke-17 akan tiba dan boleh terlaksana pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Katanya, pada PRN kali ini PBS akan turun ke gelanggang dalam satu senario baru berbeza daripada sebelum ini, kerana PBS akan bertanding sebagai satu komponen lokal bersama dengan lain-lain parti komponen lokal di dalam satu gabungan seratus peratus lokal, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan calon-calon PBS akan berhadapan dengan sejumlah besar pengundi kali pertama iaitu kelompok pengundi berumur 18 tahun ke atas dan kelompok pengundi umur 21 tahun ke atas yang lewat berdaftar.
“Sistem Undi18 dan pendaftaran pemilih secara otomatik dilaksanakan pada 31 November 2019 dan dengan pelaksanaan ini bererti tidak ada warganegara berusia 18 tahun ke atas yang akan terkecuali daripada didaftar sebagai pengundi.
“Pada PRU15, sejumlah 1,667,061 orang pengundi berdaftar di Sabah dan jumlah daftar pemilih terkini iaitu pada bulan April, 2023, adalah 1,712,066 orang pengundi. Pengundi bahru bagi tempoh lima bulan (Disember 2022 hingga April 2023) mencatat tambahan sejumlah 45,066 orang pengundi dan bolehlah dianggap pada hujung tahun ini tambahan pengundi baharu/muda akan melangkaui 100,000 orang.
“Dan penambahan ini merupakan golongan pemgundi Undi18, pengundi kali pertama yang berkemungkinan besar belum mempunyai parti, belum dilengkapi dengan Ilmu pendidikan pengundi dan sistem demokrasi /pemerintahan, dan tidak dinafikan, keputusan golongan Undi18 membuat pilihan akan dipengaruhi oleh ibu bapa, rakan sebaya, pemimpin dan media,” jelasnya.
Katanya, Wanita PBS mencadangkan supaya parti senantiasa relevan dan memenuhi keperluan perkembangan semasa agar diwujudkan satu kaedah yang berkesan bagi mendekati para belia dan beliawanis serta menyelitkan dalam program turun padang aktiviti memperkenalkan PBS dan perjuangannya, sesi-sesi pendedahan ilmu pendidikan pengundi seperti proses pembentukan kerajaan, perbezaan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kefahaman mengenai kepentingan dan implikasi yang berbeza dalam memilih wakil Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dan mengetahui fungsi Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Tanpa bekalan ilmu pendidikan pengundi, dikhuatiri pengundi muda tidak mengambil serius tentang nilai undi mereka dan bersikap acuh tak acuh terhadap pilihan raya dan implikasinya,” katanya.
Malianah berkata, selain itu, Wanita PBS juga mengsyorkan agar parti segera mengorak langkah mempergiatkan dengan lebih agresif perkara-perkara seperti sistem kempen siber, jentera siber (cyber trooper), dan pemasaran cara Influencer (Influencer Marketing).
“Perkara-perkara ini dipercayai memberi peranan penting dalam meletakkan parti dalam keadaan yang lebih bersedia berhadapan dengan saingan-saingan di luar sana,” katanya.
Beliau menjelaskan, 95 peratus pengundi Undi18 kali pertama mengakui mendapat maklumat mengenai PRU yang lalu melalui media sosial yang baharu seperti YouTube, Facebook, WhatsApp dan TikTok, dan mereka menganggap media tradisional seperti akhbar, radio dan TV sebagai lapuk dan lembab (tidak pantas).
“Abstrak media memberi peranan penting dalam membentuk pemikiran pengundi dan terbukti bahawa kini. Media sosial merupakan sumber maklumat politik yang utama kepada rakyat, khasnya golongan Undi18.
“Justeru itu, parti perlu memantapkan sistem, formula dan strategi jentera parti,” katanya.































