Bahrin bergambar kenangan bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Likas dan para perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat Cawangan Berkelompok Bahagian semalam.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas akan menperkukuhkan dan membantu perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu parti lokal menggunakan formula tempatan.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Haji Mohammad Bahrin Haji Abd Karim berkata, Gagasan Rakyat Sabah sebagai sebuah wadah “Solidariti Suara Sabah” akan membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Katanya, permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk rakyat di Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia.

Mohammad Bahrin Abd. Karim
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat Bahagian Likas di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Muamar Julkarnain, Naib Ketua Bahagian, Dr. Awang Faisyal Asyiffa Awang Rahim, Setiausaha Bahagian, Mohd. Shahezam Salisi, Ketua Penerangan, Zakaria Mandalam, Penolong Bendahari, Golden Lim, Ketua Wanita, Halijah Din, Ketua Beliawanis, Noor Azee Ashikin Angsari serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahgian Likas.
Bahrin berkata, rakyat Sabah amat memerlukan kestabilan politik kerana itu sajalah pilihan terbaik yang mampu membangkitkan keupayaan Sabah untuk bergerak ke hadapan dengan keyakinan politik dan ekonomi.
Kestabilan politik sangat penting kerana ia mencorak nasib dan masa depan jenarasi akan datang serta kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah, tambahnya.































