Jessica (dua dari kiri) menerima cenderamata dari Ram Singh (tengah) sambil disaksikan Mackey (kiri), Mary (tiga dari kiri), K. Mathavan (dua dari kanan) dan T.C. Goh (tiga dari kanan).
KOTA KINABALU: Program Doa Sayangi Malaysia anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) memasuki edisi keempat tahun ini.
Setiausaha Tetap I, Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mary Isidore Malangking berkata program yang dimulakan di negeri ini sejak tahun 2020 bertepatan dengan komitmen kerajaan untuk membangunkan negara dengan rakyatnya yang bersatu padu.
“Sepanjang penganjuran program Doa Sayangi Malaysia ini, pelbagai kumpulan masyarakat terutamanya badan keagamaan telah bersama-sama berdoa bagi kesejahteraan negara sempena Sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.
“Saya amat percaya yang kita akan lebih terbuka untuk mengenali dan memahami kepelbagaian agama di negara ini, kita umpama sebuah keluarga walaupun berlainan kepercayaan atau fahaman, kita tetap teguh mendoakan kesejahteraan negara,” katanya ketika merasmikan Program Doa Sayangi Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Gurdwara Sahib anjuran LKNS dan Persatuan Kinabalu Singh Sabha Sabah (KSSA), pada Ahad.
Tambah Mary, kehadiran ketua dan wakil-wakil persatuan badan keagamaan pada program tersebut menunjukkan usaha mengukuhkan hubungan di antara satu dengan yang lain sebenarnya boleh dicapai dengan adanya sikap saling menghormati dalam kepelbagaian kesatuan, budaya mahupun kepercayaan.
Sementara itu, Presiden KSSA, Ram Singh menyatakan penganjuran program tersebut turut menyatukan pelbagai kumpulan masyarakat terutamanya badan keagamaan untuk sama-sama mendoakan kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan negara.
“Saya percaya dengan kepelbagaian kaum dan anutan menjadikan kita sebagai sebuah keluarga di bawah payung perpaduan, walaupun berlainan kepercayaan serta fahaman namun kita tetap teguh bersama negara dan negeri yang kita cintai.
“Menjadi harapan kami agar program seumpama ini mampu menyemarakkan lagi rasa cintakan negara selain menjadi satu wadah perpaduan dan cara menyemai toleransi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah Jessica Basat; Pengurus Besar LKNS Mackey Apison; Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah Tan Sri Dr T.C Goh; Presiden Malaysia Hindu Sangam Sabah State Council Datuk Dr K. Mathavan, Pegawai Hal Ehwal Luar Majlis Rohani Baha’i Sabah Krishnan Ramasamy dan Timbalan Presiden KSSA Didar Singh.





























