Mangsa didukung turun ke Timpohon Gate di kaki Gunung Kinabalu. – Ihsan Bomba
RANAU: Hasrat seorang pendaki wanita tempatan untuk menawan puncak Gunung Kinabalu tidak kesampaian apabila dia terjatuh dan cedera terseliuh di buku lali kanan.
Mangsa berusia 35 tahun itu sedang mendaki ke puncak apabila kejadian itu berlaku di Kilometer 6.6, Panalaban di denai pendaki Gunung Kinabalu, kira-kira jam 4 pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat (MOSAR) Gunung Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian kerana mangsa tidak mampu meneruskan pendakiannya sendiri.
“Maklumat berhubung kejadian itu diterima menerusi Laluan Stesen pada jam 4.09 pagi dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Becket Gumat dikejarkan ke lokasi.
“Turut terlibat dalam operasi itu ialah dua anggota Malim Gunung dan dua renjer daripada pasukan Penyelamat Taman-Taman Sabah.
“Setibanya di lokasi kejadian yang terletak 600 meter dari pusat kawalan MOSAR, didapati mangsa yang terjatuh ketika mendaki ke puncak telah terseliuh di buku lali kanan,” katanya.
Ridwan berkata, pasukan MOSAR bertindak membawa mangsa ke Bilik 2 Mokidou, Panalaban bagi memberi rawatan awal pada buku lalinya yang cedera.
“Seterusnya pasukan MOSAR bersama renjer Taman-Taman Sabah dan Malim Gunung membawa mangsa turun ke Timpohon Gate menggunakan kaedah Piggy Back Carry secara bergilir-gilir.
“Setibanya di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pasukan EMRS Bomba untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut. Operasi selesai pada jam 10.50 pagi,” katanya.





























