Kedua-dua mangsa bertemu dengan keluarga mereka. – Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang lelaki dan seorang kanak-kanak yang sesat selama lebih kurang 14 hari di hutan di sini telah dijumpai dalam keadaan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, mangsa, Iwan Musakir, 35 dan Al Fajri Anto, 11 dijumpai dalam keadaan selamat oleh orang awam pagi tadi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kesembilan dimulakan hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti memburu di hutan berhampiran sebuah ladang pada 24 Jun lepas.
Menurutnya, BBP Tawau dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa menerusi talian balai pada jam 8.59 pagi 29 Jun, dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Roslie Suyut bergegas ke lokasi sejauh 34 kilometer dari BBP.
“Turut serta dalam operasi menyelamat termasuk anggota PDRM seramai 13 orang, PGA (12), APM (empat), Pejabat Perhutanan (16), SAPURA (tiga) dan juga penduduk kampung.
“Di tempat kejadian, pasukan kita mendapati terdapat dua orang mangsa dikhuatiri hilang di hutan ketika menjalankan aktiviti memburu sejak 24 Jun 2023 di kawasan hutan berhampiran lokasi tersebut,” katanya.
Menurut Jemishin, mangsa keluar memburu secara berkumpulan (lapan orang) dan telah berpecah kepada beberapa kumpulan ketika di dalam hutan.
“Usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh rakan-rakannya namun kedua-dua mangsa hilang masih belum dijumpai,” jelasnya.
Katanya, selepas lapan hari SAR dilakukan, akhirnya mangsa telah dijumpai oleh orang awam sekitar jam 9 pagi sebelum operasi SAR dimulakan untuk hari kesembilan.
“Mangsa seterusnya dihantar ke Dewan Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) untuk berjumpa dengan keluarga mangsa,” katanya.
Beliau menambah, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa memastikan mangsa dalam keadaan baik.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 petang,” katanya.































