Aksi pasangan beregu muda negara, Man Wei Chong (kiri) dan Tee Kai Wun di Terbuka Taiwan, kelmarin.- Ihsan BAM
PETALING JAYA: Tiga gelaran dalam tempoh 18 bulan meletakkan pasangan beregu muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun dalam kelas yang tersendiri jika dibandingkan dengan rakan-rakan seniornya lain.
Kejayaan terbaharu pasangan ini mempertahankan gelaran juara di Terbuka Taiwan Isnin dengan menewaskan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao dan Yang Po Han dengan keputusan 20-22, 21-17, 21-14 menjadikan mereka beregu lelaki pertama negara meraih kejuaraan untuk musim ini dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurut Utusan Malaysia, Wei Chong dan Kai Wun bagaimanapun sedar perjalanan masih lagi jauh buat mereka apatah lagi tumpuan kebanyakkan pemain untuk tahun ini sehingga April tahun hadapan adalah mengumpul sebanyak mungkin mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kami tidak boleh terlalu selesa kerana masih banyak kejohanan yang perlu kami sertai tahun ini. Malah kami juga berharap dapat melepasi lebih banyak halangan untuk kejohanan yang akan datang.
“Selepas ini kami akan cuba untuk fokus untuk sekurang-kurangnya berada di suku atau separuh akhir untuk kejohanan yang akan kami sertai selepas ini,” jelas Kai Wun.
Sejak digandingkan pada 2021, Wei Chong-Kai Wun telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan kini menduduki tangga ke 23 dunia.
Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dia berpuas hati dengan prestasi gandingan muda ini sekaligus memberikan tambahan persaingan yang lebih buat beregu senior dalam perebutan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Antara yang sedang bersaing ke temasya sukan terbesar dunia itu adalah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, serta gabungan semula Nur Izzudin Rumsani – Goh Sze Fei.
Berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh BWF, sebuah negara boleh menghantar dua wakil seandainya beregu mereka berada dalam kelompok lapan terbaik ranking kelayakan ke Sukan Olimpik.
“Ini adalah petanda yang baik buat Man dan Tee yang mana mereka berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
“Saya berharap kejuaraan ini akan jadi pemangkin buat mereka jadi lebih yakin dan percaya dengan kemampuan mereka yang mana ia akan membantu prestasi mereka pada masa akan datang,” katanya.































