Keadaan rumah yang roboh dalam kejadian yang berlaku di Sepanggar awal pagi ini. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Dua sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka roboh dalam satu kebakaran di sini awal pagi ini.
Mujur mereka sempat lari keluar sebelum rumah itu roboh dalam kejadian yang berlaku di Kampung Gentisan, Sepanggar, pada kira-kira jam 2.50 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd. Zulfadli Usman bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 2.51 pagi tadi.
Katanya, setiba di itempat kejadian yang terletak 27 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran berlaku melibatkan sebuah rumah berkeluasan 20×30 kaki yang telah roboh akibat struktur rumah yang tidak kukuh.
“Terdapat dua orang mangsa berada di dalam rumah itu tetapi berjaya keluar dengan sendirinya dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurut Ordine, pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan di kawasan kejadian untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 4.03 pagi.































