TENOM: Pembangunan luar bandar bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, sebaliknya perlu turut memberi penekanan kepada kesejahteraan modal insan dan keharmonian sosial masyarakat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Rubin Balang berkata kemajuan fizikal yang dibina akan terjejas sekiranya masyarakat gagal mempertahankan benteng sosial daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
Katanya, penyalahgunaan dadah bukan sahaja merosakkan kesihatan individu, malah turut meruntuhkan institusi kekeluargaan, mengancam keselamatan komuniti serta merampas masa depan generasi muda Sabah.
“Justeru, pendekatan menangani dadah perlu bergerak seiring. Penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak memadai, sebaliknya mesti dipacu oleh pendidikan pencegahan secara holistik dan berterusan agar masyarakat mempunyai daya tahan diri yang kukuh untuk menolak dadah,” katanya ketika merasmikan Program Konvoi SKUAD Antidadah Dua Roda @Tenom sempena penutupan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Daerah Kecil Kemabong, hari ini.
Rubin berkata penganjuran konvoi bermotosikal itu merupakan pendekatan strategik dan kreatif untuk mendekati golongan belia melalui aktiviti yang dekat dengan minat mereka.
Menurutnya, golongan muda tidak boleh hanya didekati melalui taklimat rasmi, sebaliknya agensi berkaitan perlu turun padang dan menggunakan pendekatan lebih santai serta mesra bagi menyampaikan mesej pencegahan dadah.
“Konvoi ini membuktikan hobi dan minat permotoran boleh disalurkan kepada aktiviti berfaedah yang menyemarakkan tanggungjawab sivik.
“Kepada anak-anak muda dan para peserta konvoi, anda bukan sekadar penunggang motosikal, anda adalah duta dan rakan advokasi antidadah. Jadilah benteng yang melindungi rakan sebaya dan bawa pulang mesej kesedaran ini ke kampung, rumah dan pergaulan harian anda,” katanya.
Beliau turut berharap gerakan SKUAD Antidadah di kawasan pedalaman terus diperkasakan melalui kerjasama antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pemimpin masyarakat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ketua-ketua anak negeri dan pertubuhan belia.
Katanya, masyarakat luar bandar perlu mempunyai pengetahuan mengenai saluran bantuan, berani melaporkan ancaman dadah di persekitaran mereka serta bertindak pantas melindungi keluarga masing-masing.
Pada masa sama, beliau berkata usaha membanteras dadah perlu diseimbangkan dengan pendekatan berperikemanusiaan terhadap individu yang sedang menjalani pemulihan.
“Kita jangan sisihkan atau memandang serong kepada saudara-mara kita yang sedang berusaha untuk pulih. Berikan mereka sokongan moral, bimbingan dan peluang kedua untuk bangkit membina masa depan yang sejahtera,” katanya.
Rubin turut menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai benteng utama dalam mencegah penyalahgunaan dadah, dengan ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak, mengamalkan komunikasi terbuka serta peka terhadap perubahan tingkah laku mereka.
Beliau turut mengajak masyarakat Kemabong dan Tenom memperkukuh semangat kejiranan serta membina komuniti yang prihatin, saling menjaga dan bersatu hati demi kesejahteraan bersama.
Rubin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), AADK, SKUAD Antidadah, jawatankuasa penganjur dan masyarakat setempat atas komitmen menjayakan program berkenaan.




























