KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 39 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar penghadang jalan di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Tanaki, di sini, malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.34 malam pada 6 November itu, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal dari arah Putatan menuju ke Inobong.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang ASP Arisanti Aziz berkata mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni, menerusi talian 019-809 5133.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika melalui kawasan pembinaan jalan raya pada waktu malam.































