Donald Trump
WASHINGTON (Bernama-Xinhua): Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad mengarahkan pentadbiran Presiden Donald Trump supaya menghentikan serta-merta penyiaran semua iklan televisyen yang masih berbaki bagi mempromosikan presiden itu menggunakan wang pembayar cukai, termasuk iklan yang dijadualkan disiarkan pada malam berkenaan, lapor Xinhua.
Hakim Mahkamah Daerah AS Jennifer L. Rochon di New York mengeluarkan perintah sekatan sementara selepas memihak kepada sekumpulan plaintif, termasuk badan pemantau bebas Common Cause, yang mencabar penyiaran iklan berkenaan atas alasan penyalahgunaan dana awam secara tidak sah, menurut laporan media tempatan.
Keputusan itu dibuat ketika pentadbiran Trump memaklumkan bahawa kempen pengiklanan berkenaan, yang menelan belanja kira-kira US$19 juta daripada wang pembayar cukai, dijadualkan berakhir pada Ahad.
Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik (DNC) pada Rabu memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump berhubung iklan televisyen yang disifatkannya menyerupai iklan kempen pilihan raya, dengan mendakwa pentadbiran itu menggunakan wang pembayar cukai sehingga melanggar undang-undang persekutuan.
Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Columbia itu menamakan presiden, Pejabat Rumah Putih, Pejabat Pengurusan dan Belanjawan serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS sebagai defendan.
Menurut dokumen saman itu, iklan berkenaan mula disiarkan di televisyen pada akhir September, dengan mengetengahkan Trump serta mesej politiknya menjelang pilihan raya pertengahan penggal, termasuk satu iklan yang hampir sama sepenuhnya dengan iklan kempen pilihan raya 2024.
Dokumen itu turut menyatakan bahawa setiap iklan berkenaan diakhiri dengan kenyataan “Dibiayai oleh Kerajaan AS”. — BERNAMA-XINHUA


































