TENOM: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya tahan penting bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan asas yang lebih baik, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Tenom dan Keningau hari ini bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek tenaga dan infrastruktur jalan raya.
Dr. Joachim turut menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap projek pembangunan bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi piawaian ditetapkan serta membolehkan sebarang isu atau kekangan dikenal pasti dan ditangani sewajarnya.
Katanya, pembangunan sektor tenaga dan jaringan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah menyokong pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan terlibat.
Beliau memulakan lawatan di ibu pejabat CCCC-CWE di Kemabong, Tenom, dengan menghadiri taklimat oleh Upper Padas Power Sdn. Bhd. mengenai perkembangan pelaksanaan projek tenaga hidro Upper Padas.
Beliau kemudian meninjau tapak projek, termasuk kawasan terowong akses, bagi melihat sendiri pelaksanaan kerja serta mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai aspek teknikal dan cabaran yang dihadapi di lapangan.
Projek berkenaan merupakan antara inisiatif penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur bekalan elektrik Sabah bagi memenuhi keperluan pembangunan dan permintaan tenaga pada masa hadapan.
Selepas lawatan di Kemabong, Dr. Joachim meneruskan perjalanan ke Keningau untuk meninjau projek menggantikan pembetung kepada jambatan kekal di Kilometer 133.95, Jalan Kota Kinabalu-Keningau.
Tinjauan itu membolehkannya melihat keadaan tapak serta meneliti pelaksanaan kerja berkaitan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Lawatan kerja selama dua hari, dari 12 hingga 13 Oktober, itu turut merangkumi beberapa lagi projek infrastruktur dan kemudahan asas di Keningau yang dijadual ditinjau pada hari berikutnya.
































