Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU (Bernama): Belanjawan 2027 meletakkan pemerkasaan modal insan Sabah dan Sarawak sebagai antara agenda utama menerusi pelbagai inisiatif pemerkasaan ekosistem pendidikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata antara langkah kritikal Kerajaan Persekutuan termasuk menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran kedua-dua negeri setiap tahun bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal.
Katanya, bagi prasarana pendidikan, hampir RM1.3 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara dengan tumpuan khusus di Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, peruntukan penyelenggaraan sekolah digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion serta pembinaan bangunan prasekolah baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bulu Silou, Keningau.
“Aspek kebajikan pelajar sekolah, Bantuan Awal Persekolahan ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 setiap murid, sejumlah RM870 juta disediakan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta pemberian elaun sara hidup RM2,500 kepada 90,000 pelajar tingkatan enam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata kadar bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI turut dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 bagi membantu mahasiswa Sabah dan Sarawak, disusuli peruntukan RM800 juta untuk menaik taraf prasarana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta perluasan program Dapur Siswa MADANI.
Beliau berkata empat penambahbaikan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan dijangka memberi kelegaan kewangan kepada lebih 400,000 peminjam di Borneo.
Inisiatif itu merangkumi penangguhan bayaran bagi pendapatan RM2,500 ke bawah pada 2027, bayaran minimum RM50 bagi julat RM2,500 hingga RM3,000, diskaun 10 peratus untuk pembayar teratur, serta potongan cukai majikan dari 2027 hingga 2028.
Beliau berkata anak muda Sabah dan Sarawak turut disediakan RM8 bilion bagi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), RM500 juta pembiayaan PTPK, serta akses 100,000 langganan AI percuma dan 16,000 kursus digital.
“Bagi memastikan pendidikan inklusif, Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan, di samping penambahan insentif guru pendidikan khas dan pembukaan lebih banyak kelas Tabika Tunas Istimewa di kawasan desa,” katanya.
Mustapha berkata pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak perlu bermula dengan ekosistem pendidikan berkualiti.
Justeru, beliau berkata kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan kompeten mengikut keperluan semasa industri. — BERNAMA


































