Hajiji melakukan pelepasan Larian Ria Madani/Berjalan Ria Madani sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026 di Padang Istiadat, Tuaran, hari ini.
TUARAN: Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan melaksanakan satu inisiatif khas bagi membantu menangani cabaran sektor kesihatan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan berikutan masih banyak cabaran berkaitan sektor kesihatan di negeri ini yang perlu ditangani.
“Namun, masih banyak yang perlu kita buat dan untuk itu kerajaan negeri akan meneliti cadangan untuk melaksanakan satu inisiatif khas bagi membantu menangani cabaran-cabaran sektor kesihatan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026 di Padang Istiadat, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan amat menggalakkan aktiviti seperti bersukan, termasuk pelaksanaan Hari Sukan Negara setiap tahun, bagi memastikan rakyat sentiasa mengamalkan kehidupan sihat dan cergas.

Katanya, Hari Sukan Negara bukan sekadar acara tahunan atau program yang menghimpunkan masyarakat untuk bersukan dalam tempoh sehari, sebaliknya satu gerakan untuk membudayakan sukan, kecergasan dan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian rakyat.
Beliau berkata, sukan mempunyai peranan besar dalam membentuk masyarakat yang sihat, aktif dan produktif, selain menjadi medium menyatukan masyarakat tanpa mengira umur, kaum, agama, latar belakang mahupun kedudukan.
Hajiji berkata, Sabah meletakkan sasaran 651,610 penyertaan sempena sambutan Hari Sukan Negara tahun ini, yang memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak.
Katanya, kejayaan sambutan itu memerlukan penglibatan bersama kementerian dan jabatan kerajaan negeri serta Persekutuan, institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan, persatuan sukan, pertubuhan belia, komuniti serta seluruh rakyat Sabah.
Beliau berkata, pendekatan memperluaskan sambutan peringkat negeri ke daerah seperti Tuaran pada tahun ini amat baik kerana memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat di peringkat akar umbi merasai sendiri kemeriahan Hari Sukan Negara.
Katanya, sambutan turut dilaksanakan di lima zon lain di seluruh negeri, iaitu Tawau, Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau, bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai masyarakat di seluruh Sabah.


































