KOTA KINABALU: Sebanyak 10 karya terbaik tempatan Sabah bakal berentap merebut gelaran juara pada Anugerah Carta Lagu Artis Sabah Musim Ke-16 (CLAS16) yang berlangsung pada 26 September ini di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kota Kinabalu.
Pengarah Penyiaran Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali berkata, CLAS16 yang bertemakan “Black Gold” meneruskan kesinambungan penganjuran sejak 2005 sebagai platform mengetengahkan karya, bakat dan kreativiti penggiat muzik tempatan Sabah.
Beliau berkata, penganjuran yang mendapat tajaan Kerajaan Negeri Sabah itu bukan sahaja memberi ruang kepada komposer, penulis lirik dan penyanyi tempatan memperkenalkan karya mereka menerusi radio RTM, malah turut menjadi antara usaha berterusan RTM Sabah dalam memperkasa ekosistem muzik tempatan.
Menurutnya, CLAS16 turut membuka peluang kepada karya anak Sabah mendapat perhatian lebih luas di peringkat nasional.
Pertandingan anjuran RTM Sabah menerusi Seksyen Hiburan dan Muzik itu berlangsung dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.
Kesemua 10 finalis dipilih berdasarkan pencapaian karya masing-masing dalam carta mingguan CLAS menerusi sokongan dan undian pendengar sepanjang musim pertandingan.
Finalis ialah “Bukan Milikmu” oleh Rusdie Shaah, dengan komposer Rusdie Shaah dan lirik Black; “Semarakkan Harapan” oleh Mixsimus Jumi, dengan komposer dan lirik oleh Mixsimus Jumi; “Bahagia Tanpamu” oleh Qahirah Maisarah, dengan komposer dan lirik Edwan Abo; serta “Lumangad Oku Dika” oleh Ryenald Guntabid, dengan komposer dan lirik Ryenald Guntabid.
Turut berentap ialah “Hati Bukan Mata” oleh Narsisius Justin Misin, dengan komposer dan lirik Narsisius Justin Misin; “Yang Satu” oleh Moses Bryan Clay, dengan komposer Moses Bryan Clay dan Don serta lirik Don; “Mungkin Hari Esok” oleh Queennera, dengan komposer dan lirik Clerence@Bob; “Bintang Menemani Bulan” oleh Arddley Nicholas, dengan komposer dan lirik Arddley Nicholas; “Memori” oleh Felix Agus, dengan komposer dan lirik Jun; dan “Mawar Merekah” oleh Dang Mar Ezzah, dengan komposer Nabil Syafiq dan lirik Ag Aidil Adzhar Bin Bakar.
Malam kemuncak akan menyaksikan persaingan merebut tiga kedudukan utama iaitu Juara, Tempat Kedua dan Tempat Ketiga, selain tiga kategori khas iaitu Vokal Terbaik, Lirik Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Para pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM18,500 selain trofi dan sijil penyertaan.
Juara menerima RM6,000, Tempat Kedua RM4,000 dan Tempat Ketiga RM2,000, manakala pemenang Vokal Terbaik, Lirik Terbaik dan Persembahan Terbaik masing-masing menerima RM1,000.
Tujuh finalis turut menerima hadiah saguhati RM500 setiap seorang.
Kesemua finalis akan diiringi persembahan muzik secara langsung oleh Kombo RTM Sabah dan turut dimeriahkan dengan persembahan khas daripada Velvet Aduk, Juara CLAS Musim Ke-15.
Kumpulan penari Funz Crew pula akan membuat persembahan pembukaan, manakala anugerah dikendalikan oleh gandingan pengacara RTM, DJ Edith dan DJ Noddy.
Anugerah itu turut disiarkan menerusi SABAHfm, media sosial rasmi RTM Sabah serta penstriman digital melalui aplikasi RTMKlik.
Orang ramai dan peminat muzik tempatan dijemput hadir bagi memberikan sokongan kepada kesemua finalis. Masuk adalah percuma.
































