Barisan pemuzik dan penyanyi Malam Galau Tenghilann.
KOTA KINABALU: Penganjuran sulung Malam Galau Tenghilan berjaya menarik 448 pengunjung, sekali gus mencipta fenomena tersendiri apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Program anjuran Bayu Serene Villa itu berlangsung pada Sabtu di Tenghilan, dengan kehadiran pengunjung yang datang bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menikmati persembahan muzik dalam suasana santai dan mesra.
Pengerusi Penganjur Maxolvin Sintore berkata sambutan di luar jangkaan itu membuktikan program hiburan santai mempunyai daya tarikan tersendiri, khususnya dalam menyediakan ruang rekreasi kepada masyarakat sekitar.
Beliau berkata objektif penganjuran bukan sekadar mengetengahkan hiburan, tetapi turut mewujudkan ruang untuk masyarakat berkumpul, berhibur dan meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.
Menurutnya, pemilihan Bayu Serene Villa sebagai lokasi juga bertujuan memperkenalkan kemudahan penginapan berkonsepkan inap desa (homestay) yang terletak berhampiran pekan Tenghilan.
Program itu turut menyediakan pelbagai gerai jualan makanan dan minuman bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung.
Antara tarikan utama ialah persembahan Naib Juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025 Keyrolina Roger, selain tiga penyanyi kelahiran Tenghilan iaitu Clementino Cladius (Tino), Mitheldha Lisnie Laurence (Bep) dan Aiman Danieal (Aiman).
Penglibatan penyanyi tempatan itu bukan sahaja memeriahkan acara, malah menjadi platform mengetengahkan bakat seni suara anak tempatan kepada masyarakat.
Persembahan muzik secara langsung turut dijayakan barisan pemuzik yang kebanyakannya berasal dari Tenghilan, dengan bantuan dua pemuzik dari Manggatal.
Mereka ialah Mah Chung Fui (dram), Chrysostom Misi (gitar bes), Ateng (keyboard dan gitar akustik), Wandy Gimpah (keyboard), Damasus Madin (gitar utama) dan Diego Amaldo Jerry (gitar kedua).
Gabungan penyanyi dan pemuzik itu memperlihatkan kemampuan penggiat seni tempatan menjayakan program hiburan komuniti, selain membuka peluang kepada bakat setempat untuk terus diketengahkan.
Bertemakan Malam Galau, acara itu mengetengahkan lagu-lagu berunsurkan cinta, kerinduan dan kenangan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Penganjuran julung kali itu turut memperlihatkan potensi Tenghilan sebagai lokasi aktiviti hiburan dan rekreasi komuniti, selain membantu memperkenalkan produk pelancongan serta kemudahan penginapan tempatan.
Sambutan 448 pengunjung pada edisi pertama itu memberikan permulaan positif kepada usaha mempelbagaikan aktiviti sosial dan hiburan di Tenghilan.




























