PUTRAJAYA (Bernama): Populariti mungkin mampu melonjakkan nama seorang pelakon dalam sekelip mata, namun yang menentukan mereka mampu kekal relevan dalam industri seni adalah bakat dan disiplin.
Pelakon Nad Zainal berkata pengiktirafan dan perhatian peminat sahaja tidak memadai sekiranya seseorang anak seni tidak menjaga etika kerja, khususnya ketika berada di set penggambaran.
Menurut pemilik nama Farah Nadia Zainal Abidin itu, populariti boleh hilang pada bila-bila masa, sedangkan bakat yang disokong disiplin tinggi mampu menjadi asas kepada kelangsungan kerjaya seseorang pelakon.
“Yang penting, kita sebagai pelakon kena tahu disiplin di set penggambaran. Jangan sampai populariti itu mengheret kita ke bawah sebab populariti boleh hilang begitu sahaja, tetapi bakat yang membuatkan kita kekal selamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026) baru-baru ini.
Mengulas dakwaan pelakon baharu lebih mengejar populariti berbanding menimba ilmu lakonan, Nad enggan memukul rata tanggapan tersebut kerana terdapat ramai bakat muda yang memiliki kebolehan semula jadi.
Beliau berkata pengalaman dirinya dan suami, pelakon Ungku Ismail, ketika mula bertapak dalam industri turut membuktikan laluan setiap pelakon dalam mengasah bakat adalah berbeza.
“Macam Ungku, dia tak pergi kelas lakonan macam saya, tapi saya rasa dia berbakat, kawan-kawan lain yang tak pernah pergi kelas pun berbakat,” katanya.
Pun begitu, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 itu mengakui populariti dan sokongan peminat tetap memainkan peranan penting dalam perjalanan kerjaya seorang anak seni.
Pada masa sama, beliau berpandangan pengiktirafan daripada juri profesional menerusi kategori lakonan terbaik membawa kepuasan tersendiri kerana keupayaan seseorang pelakon dinilai berdasarkan mutu persembahan mereka.
“Saya pernah menang kategori popular, jadi saya tak nak menidakkan kepentingannya. Tetapi alangkah seronok jika bakat dinilai oleh juri profesional. Peminat penting, tetapi ini (penilaian profesional) yang diidamkan oleh setiap pelakon,” katanya yang juga pernah merangkul trofi Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014.
Terdahulu, Nad tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik di ASA2026 menerusi telefilem Dosa Tak Terampun, yang dimenangi oleh Elizad Sharifuddin menerusi Detik Waktu siaran TV Okey.
Artis ini turut melakar satu lagi pencapaian apabila buat julung kalinya tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM 35) menerusi filem Denu, selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia lakonan.
Dalam kategori itu, Nad bersaing dengan empat calon lain, iaitu Mimi Lana menerusi filem Polong, Sasha Abedul (Malam Terlarang), Aida Amron (Badak) dan Fish Liew (Pavane For An Infant). — BERNAMA
































