Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan merangka garis panduan khas bagi membolehkan tindakan lebih tegas dan pantas diambil terhadap syarikat pengendali serta pemandu kenderaan berat yang melanggar syarat lesen sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
Pengerusinya Datuk Senator Phoong Jin Zhe berkata langkah itu susulan beberapa insiden membabitkan kenderaan berat, termasuk tragedi dua beranak yang maut selepas dihempap kontena di Sepanggar, baru-baru ini.
Beliau berkata tragedi itu amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku, sambil menegaskan keselamatan orang awam tidak boleh dikompromi akibat kecuaian pengusaha atau pemandu.
“Dua nyawa yang tidak berdosa telah terkorban. Ini bukan sekadar angka dalam statistik kemalangan jalan raya, tetapi dua insan yang mempunyai keluarga dan masa depan.
“Tiada apa yang mampu menggantikan nyawa yang telah hilang, dan kita tidak boleh membiarkan tragedi seperti ini berulang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga LPKP Sabah di sini, hari ini.
Phoong berkata sudah tiba masanya isu pematuhan keselamatan kenderaan perdagangan ditangani secara serius tanpa sebarang kompromi.
“Keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan. Sebagai Pengerusi LPKP Sabah, saya mahu memastikan setiap pengusaha kenderaan perdagangan memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan operasi mereka.
“Kita tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang kecuaian yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau menjelaskan terdapat perbezaan dari segi kerangka perundangan dan bidang kuasa penguatkuasaan terhadap pengendali kenderaan perdagangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Katanya, Menteri Pengangkutan mempunyai kuasa tertentu di Semenanjung untuk menggantung atau membatalkan lesen syarikat pengendali berdasarkan peruntukan undang-undang yang berbeza daripada yang terpakai di Sabah.
Sehubungan itu, LPKP Sabah perlu meneliti dan mewujudkan mekanisme bersesuaian bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pihak yang melanggar syarat lesen.
“Garis panduan baharu ini akan memberi penekanan kepada usaha mempercepatkan proses siasatan dan tindakan terhadap pihak yang didapati melanggar syarat lesen, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau menegaskan penguatkuasaan lebih ketat bukan bertujuan menyusahkan industri pengangkutan, sebaliknya memastikan pengusaha yang bertanggungjawab dapat beroperasi dalam persekitaran lebih selamat dan teratur.
BAS.MY akan diperluas, dioptimumkan
Sementara itu, Phoong berkata kajian berhubung cadangan penjajaran semula laluan BAS.MY Kota Kinabalu telah selesai dan pada dasarnya dipersetujui pihak lembaga.
Katanya, penambahbaikan itu termasuk penambahan hentian bas di beberapa kawasan strategik seperti Klinik Kesihatan Luyang, Hospital Likas, Tanjung Aru dan Kepayan Ridge, berdasarkan keperluan serta permintaan orang ramai.
Beliau berkata usaha memperluas jaringan perkhidmatan bas itu bertujuan memudahkan kehidupan harian rakyat, khususnya warga emas, pelajar, pekerja dan mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam.
“Matlamat kita sangat jelas, iaitu menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan yang mudah, selamat, selesa dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Kita mahu lebih ramai rakyat dapat pergi ke hospital, sekolah, tempat kerja dan pusat kegiatan masyarakat tanpa perlu terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian,” katanya.
Bagaimanapun, pelaksanaan penjajaran semula laluan itu memerlukan sedikit masa kerana membabitkan pindaan kontrak perolehan serta kelulusan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.
Beliau memberi jaminan LPKP Sabah akan terus membuat susulan dengan kementerian berkaitan supaya penambahbaikan berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Penumpang BAS.MY meningkat 208 peratus
Dalam perkembangan berkaitan, Phoong berkata BAS.MY Kota Kinabalu merekodkan jumlah kumulatif 598,054 penumpang setakat Oktober tahun ini, meningkat 208 peratus berbanding kira-kira 194,000 pada 10 Ogos lalu.
Katanya, peningkatan lebih tiga kali ganda dalam tempoh kira-kira dua bulan itu membuktikan keperluan rakyat Sabah terhadap sistem pengangkutan awam yang lebih baik.
“Angka ini amat memberangsangkan dan membuktikan bahawa rakyat Sabah sememangnya memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih baik. Apabila perkhidmatan disediakan dengan baik, rakyat akan menggunakannya,” katanya.
Beliau berkata Kota Kinabalu berpotensi membangunkan budaya pengangkutan awam yang lebih moden dan efisien, sambil memberi jaminan maklum balas orang ramai akan terus diambil kira bagi menambah baik perkhidmatan itu.
LPKP Sabah gugur dua dokumen permohonan lesen
Phoong berkata mesyuarat turut bersetuju menggugurkan dua dokumen sokongan yang sebelum ini diwajibkan bagi permohonan lesen baharu LPKP Sabah.
Katanya, dokumen berkenaan ialah kontrak bagi permohonan Lesen Pembawa A serta surat pengesahan status kebankrapan bagi permohonan Lesen Pembawa A dan C.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bahawa dokumen berkenaan tidak lagi mempunyai kepentingan signifikan dalam proses pertimbangan dan kelulusan lesen.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan beban penyediaan dokumen dan birokrasi yang dihadapi pemohon, di samping memperkemas serta mempercepatkan proses permohonan lesen,” katanya.
Beliau berkata LPKP Sabah akan terus meneliti prosedur sedia ada bagi memastikan urusan pelesenan lebih mudah dan cekap tanpa menjejaskan aspek pematuhan serta keselamatan.
1,106 pemandu terima bantuan RM1,000 pada 6 November
Dalam pada itu, seramai 1,106 pemandu bas sekolah, kereta sewa dan teksi disahkan layak menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000, dengan majlis penyampaian dijadualkan pada 6 November ini.
Phoong berkata LPKP Sabah akan menghubungi penerima dalam masa terdekat bagi memaklumkan butiran lanjut mengenai penyerahan bantuan berkenaan.
Katanya, satu sesi penyerahan turut diadakan di Sandakan bagi memudahkan penerima yang layak di kawasan itu, manakala tarikh, masa dan lokasi akan diumumkan kemudian.
Beliau berkata pihaknya turut mengambil maklum kemungkinan terdapat individu yang layak tetapi tercicir daripada senarai penerima dan LPKP Sabah akan membantu mereka mendapatkan bantuan berkenaan.
“Inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga pengangkutan, dan kita amat berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, atas sokongan beliau yang berterusan,” katanya.
Phoong berkata selain memperjuangkan keselamatan pengguna jalan raya dan meningkatkan mutu pengangkutan awam, kebajikan pemandu serta pengusaha pengangkutan yang bertanggungjawab turut diberi perhatian.
“Komitmen saya adalah untuk memastikan kita mempunyai sistem pengangkutan yang lebih selamat, perkhidmatan yang lebih baik dan industri yang lebih bertanggungjawab.
“Keselamatan rakyat, kemudahan pengangkutan awam dan kebajikan warga pengangkutan akan sentiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.































