PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengalu-alukan pelaksanaan Kempen Turun Harga Barangan Segar @ Bataras sebagai antara ikhtiar bersama dalam membantu meringankan kos perbelanjaan barangan keperluan rakyat.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program yang dianjurkan Bataras Sdn Bhd itu merupakan citra komitmen sebahagian pemain industri dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, Bataras merupakan syarikat tempatan yang telah mula bertapak sejak 1998 dan kini mengendalikan 58 rangkaian cawangan Pasar Raya Bataras di seluruh Sabah, termasuk di Papar.
“Menerusi kempen ini, para pengguna berpeluang membeli sejumlah barangan keperluan pada harga lebih rendah, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan harian rakyat.
“Kempen ini berlangsung bermula 28 Ogos hingga 31 Oktober 2026 melibatkan semua cawangan Pasar Raya Bataras di Sabah,” katanya.
Menurut Armizan, kempen berkenaan menawarkan diskaun antara lima hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga asal bagi 30 jenis barangan segar terpilih.
Katanya, KPDN amat mengalu-alukan pelaksanaan kempen itu sebagai antara ikhtiar bersama dalam membantu meringankan kos perbelanjaan barangan keperluan rakyat.
“Usaha murni ini wajar diperluaskan dan dicontohi oleh lebih ramai pemain industri termasuk subsektor peruncitan lain sebagai manifestasi tanggungjawab bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat,” katanya.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, pelaksanaan Kempen Turun Harga Barangan Segar @ Bataras juga bertepatan dengan hasrat Kerajaan untuk menggerakkan agenda kebersamaan semua pihak melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation) dalam menangani isu kos sara hidup yang merupakan antara cabaran global.
Beliau berkata, atas kekangan tugasan di Putrajaya, beliau tidak berpeluang hadir bersama dalam program berkenaan di Pasar Raya Bataras, Papar, pagi ini.
“Saya merakamkan penghargaan kepada ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir atas kesudian menyempurnakan pelancaran tersebut serta terima kasih kepada Bataras Sdn Bhd atas komitmen melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat langsung kepada pengguna.
“Semoga usaha ini dapat diteruskan dan diperluas sebagai sebahagian daripada ikhtiar bersama membantu rakyat,” katanya.
































