Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan rumah-rumah ibadat bukan Islam tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri, kata Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, komitmen itu turut dizahirkan menerusi peningkatan peruntukan dalam Belanjawan Negeri tahun ini kepada badan-badan keagamaan bukan Islam serta institusi pendidikan persendirian di Sabah.
“Kita sememangnya menyedari bahawa peruntukan itu masih belum mencukupi. Namun, sekurang-kurangnya bantuan berkenaan dapat meringankan beban gereja-gereja yang memerlukannya,” katanya ketika mempengerusikan pertemuan antara anggota Kabinet Kerajaan Negeri beragama Kristian dengan pimpinan Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC), di sini, malam tadi.
Dr. Joachim berkata, beliau memahami bahawa setiap gereja berhadapan dengan pelbagai cabaran, khususnya membabitkan kekangan sumber kewangan.
Sehubungan itu, beliau berharap pertemuan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh SCC untuk menyuarakan pandangan, keperluan dan isu yang dihadapi gereja-gereja supaya dapat diketengahkan kepada Kerajaan Negeri.
“Tujuan pertemuan ini adalah untuk mencari ruang penambahbaikan. Apa sahaja isu yang dibincangkan, sampaikan kepada kerajaan supaya dapat diteliti dan dibincangkan pada peringkat tertinggi kepimpinan Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang terbuka dan prihatin terhadap keperluan semua agama di negeri ini.
“Kita amat menghargai kepimpinan Ketua Menteri yang sentiasa terbuka, terutama dalam hal berkaitan keagamaan.
“Sabah amat bertuah memiliki beliau sebagai Ketua Menteri yang mahu melihat negeri ini terus makmur, maju, aman dan damai,” katanya.
Dr. Joachim berkata, pertemuan malam tadi yang dihoskan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick sebenarnya telah dirancang sejak sambutan Krismas tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan masa dan kesibukan semua pihak.
“Bagaimanapun, kita bersyukur kerana pertemuan ini akhirnya dapat direalisasikan.
“Walaupun kita terdiri daripada pelbagai denominasi, kita tetap saling menghormati dan terbuka antara satu sama lain,” katanya.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki; Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone Kurum; Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datuk Thomas Logijin; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Sr. Lifred Wong; Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong; serta Presiden SCC, Bishop Wong Pui Kong.
Antara wakil gereja dan denominasi Kristian yang hadir ialah Anglican Diocese of Sabah, Basel Christian Church of Malaysia, Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah, Calvary Charismatic Centre, Grace Chapel, Sabah Evangelical Mission, Christian Revival Church, The Methodist Church, Sabah Baptist Association, Protestant Church of Sabah, Assembly of God serta Roman Catholic Archdiocese of Kota Kinabalu.
































