Jafry (tengah) bersama Hady (kiri), Ketua Pegawai Operasi (COO) Sri Pelancongan Sabah, Fidelis Francis Andam (kanan), Pengurus Kanan Kadaiku, Mohamad Faizal Jaini serta kakitangan Kadaiku, melawati premis baharu Kadaiku di Api-Api Centre, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin menegaskan produk tempatan memainkan peranan penting dalam melengkapkan pengalaman pelancongan Sabah kerana ia memberi peluang kepada pengunjung mengenali budaya, kreativiti dan identiti negeri ini.
Beliau berkata, perkara itu dapat direalisasikan menerusi platform seperti Kadaiku yang mengetengahkan kraftangan, produk tempatan dan cenderamata buatan Sabah.
“Produk tempatan kita membawa cerita tentang Sabah melalui budaya, hasil seni dan kreativiti masyarakatnya.
“Kadaiku menyediakan platform untuk mendekatkan produk-produk ini kepada pengunjung, di samping memberikan pendedahan yang lebih luas kepada usahawan tempatan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kadaiku di lokasi baharunya di Api-Api Centre, di sini, kelmarin.
Kadaiku dimiliki dan diuruskan oleh Sri Pelancongan Sabah Sdn. Bhd. (SPS), anak syarikat Lembaga Pelancongan Sabah, yang berpindah ke Api-Api Centre dari premis terdahulunya di Sinsuran, di sini.
Ketibaan Jafry disambut Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Hady Syam bersama Pengurus Kadaiku, Faizal Jaini.
Dalam lawatan itu, beliau turut diberikan taklimat mengenai operasi Kadaiku serta peranannya sebagai platform untuk mengetengahkan kraftangan, produk tempatan dan cenderamata buatan Sabah.
Kadaiku menawarkan pelbagai pilihan produk buatan Sabah, termasuk kraftangan tradisional, cenderamata berinspirasikan identiti tempatan, produk makanan, barangan hadiah serta hasil kontemporari daripada usahawan tempatan.
Sementara itu, Hady berkata, Sri Pelancongan Sabah akan terus memperkukuhkan peranan Kadaiku sebagai platform yang menghubungkan pengusaha tempatan Sabah dengan pasaran pelancongan.
“Melalui Kadaiku, Sri Pelancongan Sabah terus mengetengahkan kraftangan, produk tempatan dan usahawan Sabah dengan menyediakan platform yang dapat meningkatkan keterlihatan produk, mewujudkan peluang komersial serta mendekatkan produk asli Sabah kepada para pengunjung,” katanya.
Beliau berkata, perpindahan Kadaiku ke Api-Api Centre turut membuka peluang untuk memperkukuhkan kehadirannya serta menjadikan produk buatan Sabah lebih mudah diakses masyarakat tempatan, pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke Kota Kinabalu.
Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, platform seperti Kadaiku turut melengkapi usaha memperkayakan pengalaman pengunjung dengan menggalakkan mereka mengenali, menghargai dan membeli produk tempatan, sekali gus memberi manfaat kepada pengusaha, penggiat kraftangan dan usahawan Sabah.


































