PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan tiga lelaki berusia antara 35 dan 40 tahun cedera akibat penggunaan objek tajam dalam kejadian di Putatan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 9.30 malam, 18 Ogos ketika sekumpulan individu sedang berkumpul dan bermain karom di luar sebuah rumah di lokasi berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila suspek yang juga merupakan jiran mangsa melalui kawasan tersebut dengan menunggang motosikal dan menghasilkan bunyi enjin yang kuat.
“Tindakan teguran oleh salah seorang mangsa kemudian mencetuskan pertengkaran sebelum keadaan bertukar menjadi pergaduhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tiga mangsa mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, dengan kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Susulan kejadian, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Balai Polis Putatan berjaya menahan suspek di sebuah kawasan kampung di Putatan pada kira-kira jam 10 malam, hari sama.
Sammy berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku secara spontan akibat salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas ditegur berhubung bunyi motosikal.
“Tiada rekod perselisihan atau dendam terdahulu antara suspek dan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, dengan penahanan suspek utama, polis berjaya melengkapkan tindakan awal bagi menyelesaikan kes berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil keterangan beberapa saksi serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan serta nasihat lanjut.
Dalam pada itu, Sammy menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik sebarang imej dan video kejadian di mana-mana platform media sosial yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran masyarakat.


































