KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama beberapa agensi penguat kuasa memperkukuhkan usaha membanteras pelbagai kesalahan menerusi Operasi Todak yang dilaksanakan di kawasan SAFMA, Pasar Besar Kota Kinabalu dan perairan sekitarnya pada 4 Ogos lalu.
Operasi bersepadu yang bermula jam 11 malam itu diselaraskan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dan Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA).
Dalam operasi itu, JIM memeriksa seramai 521 Orang Yang Diperiksa (OYDP) dan menahan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua mereka dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Bagi kawasan perairan, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dengan kerjasama APMM memeriksa empat bot, manakala lesen asal sebuah bot ditahan berikutan kesalahan membabitkan dokumen pengenalan pelaut warga asing yang telah tamat tempoh.
Kedua-dua agensi itu turut memainkan peranan mengesan dan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat individu yang bertindak terjun ke laut bagi melarikan diri.
Sementara itu, APMM menggerakkan dua aset maritim membabitkan 14 anggota bagi membuat pemeriksaan ke atas sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT).
Hasil pemeriksaan mendapati tujuh kru diperiksa sebelum diserahkan kepada JIM untuk tindakan selanjutnya.
Dari aspek penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, DBKK mengeluarkan kompaun terhadap dua penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah di kawasan SAFMA dan Pasar Besar Kota Kinabalu.
Tindakan penguatkuasaan itu turut melibatkan penyitaan sebuah motosikal serta beberapa peralatan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan.
Bagi memastikan operasi berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal, PDRM menggerakkan 21 anggota daripada Balai Polis Kota Kinabalu, Team Cantas dan Pasukan Polis Marin.
DBKK dalam kenyataannya berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu akan terus dipergiat secara berkala bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang bersih, selamat, teratur dan berdaya huni.
































