KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) mengesahkan berlakunya satu insiden renjatan elektrik di kawasan Weston, Beaufort yang mengorbankan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam satu kenyataan, syarikat utiliti itu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM, selain menyatakan rasa dukacita atas kehilangan tersebut.
Menurut kenyataan itu, sejurus menerima makluman mengenai kejadian berkenaan, pasukan teknikal Sabah Electricity telah digerakkan ke lokasi bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
Sabah Electricity turut memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan agensi berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Sabah Electricity turut menegaskan komitmennya untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai, selain akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan.


































