TAWAU: Perolehan dua unit kren dermaga (quay crane) baharu bernilai RM70 juta dijangka meningkatkan kecekapan operasi di Pelabuhan Tawau sekali gus membantu menangani pelbagai isu yang dibangkitkan pemain industri sebelum ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, jentera baharu itu diyakini mampu mempertingkatkan kecekapan pengendalian kargo di pelabuhan utama berkenaan.
“Dengan adanya jentera baharu ini, saya yakin isu-isu yang telah dibangkitkan oleh pemain industri termasuk persatuan-persatuan logistik dapat ditangani dengan baik.
“Saya berharap jentera baharu yang dijangka mula beroperasi September ini dapat membantu meningkatkan kecekapan operasi di pelabuhan utama kita,” katanya ketika ditemui media selepas mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada majlis ringkas pelancaran dua unit kren dermaga baharu di Pelabuhan Tawau, di sini, hari ini.
Ewon berkata, sebaik memulakan tugas sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan pada Mac lalu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Tawau bagi mendapatkan taklimat mengenai operasi serta perancangan pembangunan daripada Sabah Ports Sdn. Bhd. selaku pengendali pelabuhan.
Menurutnya, sebelum itu beliau turut menerima beberapa aduan daripada pemain industri berkaitan operasi jentera sedia ada di pelabuhan berkenaan.
“Perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet Sabah dan Suria Capital Holdings Berhad selaku syarikat induk Sabah Ports Sdn. Bhd. diminta untuk meningkatkan kecekapan melalui perolehan jentera-jentera baharu.
“Syukur, hari ini dua unit quay crane baharu telah siap dipasang dan kini dalam proses semakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH),” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suria Capital Holdings Berhad, Sabah Ports Sdn. Bhd. dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah atas kerjasama memastikan perolehan serta pemasangan jentera berkenaan berjaya direalisasikan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Suria Capital Holdings Berhad, Sabah Ports Sdn. Bhd. dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah atas kerjasama menjayakan agenda pembangunan Sabah ini selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First,” katanya.


































