Hajiji meninjau kemajuan pelaksanaan Projek Empangan Air Tawau dan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata semasa lawatan kerja di Tawau, hari ini.
TAWAU: Masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di daerah ini dijangka dapat diselesaikan selepas Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta siap sebelum akhir tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek yang membabitkan pembinaan empangan bagi membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan 2 itu kini berjalan mengikut jadual.
Beliau berkata, perkembangan itu adalah petanda positif dalam usaha kerajaan pimpinannya mengatasi masalah bekalan air yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
“Kita nampak perkembangan projek ini begitu baik dan berjalan mengikut jadual. Walaupun ada permohonan daripada kontraktor untuk melanjutkan tempoh kerja, yang penting projek ini dijadual siap sebelum akhir 2027.
“Kita mewarisi masalah ini, bukan masalah yang berlaku ketika kerajaan hari ini. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita melakukan yang terbaik dengan menyediakan peruntukan bagi menyelesaikan masalah ini demi kemudahan rakyat,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Empangan Air Tawau dan LRA Cinta Mata, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan bersedia meneliti keperluan untuk menambah peruntukan bagi melaksanakan projek berkenaan, bergantung kepada laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, setakat ini Kerajaan berpuas hati dengan prestasi projek itu selepas menerima taklimat mengenai kemajuan pelaksanaannya serta pencapaian kontraktor yang dipertanggungjawabkan.
Terdahulu, Hajiji diberi taklimat mengenai Skim Bekalan Air Tawau Fasa III dan Pembangunan Infrastruktur Bekalan Air Utama Daerah Tawau oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Pengurus Projek Ibu Pejabat JANS, Rodney Tinggas.
Beliau turut diberi taklimat mengenai Kawasan Banjir Perbandaran Tawau dan Rancangan Projek Pencegahan Banjir Tawau oleh Jurutera Daerah JPS Tawau, Syahzarul Rizal Joddari.
Berdasarkan taklimat JANS, Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta yang melibatkan pembinaan Empangan Air Tawau telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 74.04 peratus setakat 25 Julai lalu, berbanding sasaran jadual asal sebanyak 73.89 peratus.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan empangan dengan kapasiti takungan air mentah sebanyak 30 juta meter padu (MCM) serta pemasangan paip air mentah bersaiz 700 milimeter (mm) sepanjang 11.6 kilometer.
Apabila siap kelak, empangan itu akan membekalkan air mentah kepada LRA Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara dengan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 161 juta liter sehari.
Menurut taklimat itu, projek berkenaan bertujuan menjamin bekalan air mentah ke LRA Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara, mengurangkan risiko kekurangan sumber air mentah ketika musim kemarau serta menyediakan sumber air mentah yang mampan.
Antara manfaat projek itu ialah memastikan bekalan air mentah yang mencukupi untuk loji rawatan sedia ada, meningkatkan kualiti air mentah melalui takungan empangan yang terkawal serta mengurangkan risiko banjir di kawasan hiliran Tawau.
Projek yang dilaksanakan oleh Citic Wijaya Construction itu dijadualkan siap pada 21 Oktober 2027.
Dalam lawatan sama, Hajiji turut diberi taklimat mengenai kemajuan pembinaan LRA Cinta Mata 2 yang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 16.08 peratus setakat 25 Julai lalu.
Projek bernilai RM299.9 juta itu melibatkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH), pembinaan tangki simpanan air berkapasiti 20 JLH dan 10 JLH, serta pemasangan paip air terawat sepanjang 12 kilometer dengan saiz antara 150 milimeter hingga 800 milimeter.
Menurut JANS, projek itu bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat, menjamin bekalan air bersih yang stabil serta menyediakan bekalan air bersih secara berterusan kepada pengguna.
LRA Cinta Mata 2 dijadualkan siap pada 22 Julai 2028 dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau dan kawasan sekitarnya.
Daerah Tawau kini mempunyai 53,133 akaun pengguna air berdaftar dengan rangkaian paip sepanjang 982.99 kilometer. Bagaimanapun, jumlah pengeluaran air semasa hanya 130 JLH berbanding permintaan sebanyak 142 JLH.
JANS turut menyenaraikan beberapa isu semasa yang dihadapi sistem bekalan air Tawau, termasuk kadar Air Tidak Berhasil (NRW) sebanyak 68 peratus, paip uzur, kecurian air, kekurangan tangki simpanan air, peralatan mekanikal dan elektrikal yang uzur, isu kualiti serta kuantiti air mentah, kekangan logistik dan catuan bekalan air.


































