Antara kumpulan yang bertanding melakukan persembahan masing-masing.
TUARAN : Hasil titik peluh berlatih setiap hari sejak Februari lalu akhirnya berbaloi buat Persatuan Komuniti Lotud apabila berjaya merangkul dua kemenangan besar pada Festival Mojumbak dan Mongigol-Sumayau Dusun (FESMOD) Ke-2, 2026.
Persatuan itu dinobatkan sebagai Johan kategori Tarian Tradisi (Mongigol-Sumayau) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, selain turut meraih tempat ketiga bagi kategori Muzik Tradisi (Mojumbak) dengan ganjaran RM2,000.
Pengurus Persatuan Komuniti Lotud, Jennifer Aplansius meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana segala usaha keras anak-anak buahnya membuahkan hasil yang diimpikan.
“Kami sudah mula berlatih sejak Februari lagi. Setiap hari kami buat yang terbaik dan tekankan disiplin pasukan.
“Saya sangat berharap lebih ramai anak muda, terutamanya di daerah ini, tampil sertai persatuan kami untuk belajar dan pertahankan warisan budaya supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Kehangatan pentas FESMOD 2026 turut disusuli kejayaan Pasukan Kentari yang turut memenangi dua kategori iaitu Johan kategori Tarian Kreasi Baru Etnik berupa wang tunai RM8,000 serta tempat ketiga kategori Tarian Tradisi (RM2,000).
Pengurus yang juga Koreografer Pasukan Kentari, Evan Rexell Joannes, mengakui tidak menyangka kemenangan itu memandangkan persaingan daripada kumpulan bertanding sangat sengit.
“Semua kumpulan ada kehebatan dan keunikan tersendiri. Kami cuma cuba buat yang terbaik dan betul-betul ikut konsep serta syarat tarian kreasi yang ditetapkan penganjur. Syukur, rezeki memihak kepada kami,” katanya.
Bagi kategori Muzik Tradisi, kejuaraan menjadi milik Retra Seni Sabah manakala Supian Silad muncul Naib Johan. Bagi kategori Tarian Tradisi pula, Naib Johan disandang oleh Sayau Pusakag.
Kategori Tarian Kreasi Baru Etnik turut menyaksikan Tinaru Gumurai meraih Naib Johan, manakala gabungan Parhakow X Tukang-tukang Project menduduki tempat ketiga.
Anugerah Khas Juri FESMOD 2026 bagi kategori Citra Cilik Budaya pula dihadiahkan kepada Kumpulan Malbar Junior atas komitmen serta minat mendalam mereka terhadap seni tradisi sejak kecil.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah festival berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji.
Festival selama tiga hari itu mencatatkan sambutan hangat apabila berjaya menghimpunkan 23 kumpulan bertanding, berbanding 18 penyertaan pada edisi terdahulu.


































