SANDAKAN: Sabah merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi bagi pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk kategori baharu Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap), dengan 5,583 syarikat melibatkan 10,046 kenderaan setakat 23 Julai lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pencapaian itu mencerminkan sambutan positif syarikat-syarikat yang layak di negeri ini terhadap peluasan kelayakan SKDS yang mula dibuka pada 3 Julai 2026.
Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 15,388 syarikat melibatkan 25,781 kenderaan di seluruh negara telah berdaftar di bawah kategori baharu itu.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 67.9 peratus syarikat yang menerima manfaat adalah berdaftar di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, melibatkan 10,453 syarikat dengan 18,538 kenderaan.
“Peningkatan pendaftaran ini menunjukkan peluasan kelayakan SKDS kepada kategori Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap mendapat sambutan yang positif daripada syarikat-syarikat yang layak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada Majlis Penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada 15 syarikat dari kawasan Sandakan yang berlangsung sempena Festival JOM MALAYSIA di Kompleks Sukan Sandakan, di sini, hari ini.
Armizan berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Julai 2026, manakala permohonan pendaftaran SKDS telah dibuka sejak 4 Mei lalu.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengawal selia penyaluran subsidi diesel bagi 35 jenis kenderaan perdagangan, manakala subsidi diesel untuk kategori individu diuruskan di bawah BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi yang berada di bawah kawal selia Kementerian Kewangan.
Beliau berkata, peluasan pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan meliputi tiga sektor iaitu Pengangkutan Darat (Awam), Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna) serta sektor baharu Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap).
Setakat 23 Julai lalu, katanya, sebanyak 190,012 syarikat melibatkan 493,160 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara merangkumi ketiga-tiga sektor berkenaan.
Menurutnya, bagi syarikat yang telah mendapat kelulusan SKDS, langkah seterusnya ialah mendapatkan fleet card daripada syarikat minyak bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi.
“KPDN merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat minyak atas kerjasama erat dalam memastikan proses pengeluaran fleet card kepada syarikat-syarikat yang layak dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Kami juga menggesa semua syarikat yang memenuhi syarat kelayakan tetapi masih belum berdaftar di bawah SKDS supaya segera mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi,” katanya.
Armizan berkata, kementerian itu akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kerajaan Sabah dan Sarawak, syarikat-syarikat minyak serta semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh pelaksanaan SKDS dari semasa ke semasa.
Mengulas isu subsidi diesel bagi penerima individu, beliau berkata, perkara itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan menerusi BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi.
Beliau berkata, beberapa wakil rakyat dari Sandakan telah mencadangkan supaya syarat kelayakan BUDI Diesel diseragamkan dengan BUDI95 Petrol, iaitu hanya memerlukan pemohon menjadi warganegara dan memiliki lesen memandu yang masih sah, tanpa syarat kenderaan didaftarkan atas nama individu.
“Perkara ini tidak melibatkan kenderaan perdagangan. Saya telah meminta mereka menyalurkan syor tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah kerana kini sudah wujud platform penyelarasan antara Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dengan Kementerian Kewangan di peringkat Persekutuan,” katanya.
































