Para peserta mempamerkan hasil anyaman Siung Papar yang berjaya dihasilkan sepanjang lapan hari Bengkel Anyaman Siung Papar.
PAPAR: Persatuan Masyarakat Prihatin Papar (PaparCare4U) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah dan Pohumpung Nature Breeze Trail (PNBT) hari ini menutup tirai Bengkel Anyaman Siung Papar selepas berlangsung selama lapan hari di Dewan Terbuka PNBT, Kampung Biau, Papar.
Bengkel yang disertai 10 orang wanita dari sekitar daerah Papar itu bertujuan memelihara dan memperkasakan seni anyaman Siung Papar sebagai identiti dan warisan budaya masyarakat Kadazan Papar, di samping melahirkan lebih ramai penganyam bagi memastikan warisan tersebut terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Juil Nuatim yang juga ADUN Limbahau. Turut hadir ialah wakil Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, Peter Jack, Pengerusi Penganjur, Dorothy Doris Tiansun, Pengerusi Pohumpung Nature Breeze Trail (PNBT), Eddie Mikil, Timbalan Pengerusi PaparCare4U, Dunstan Oswald Roland, Setiausaha, Eudora Deoney Edward, serta Bendahari, Mylvia Roland.
Dalam ucapannya, Juil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memelihara dan memperkasakan warisan anyaman Siung Papar sebagai identiti masyarakat Kadazan Papar.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah akan terus menyokong usaha pemuliharaan warisan budaya melalui bantuan dan peruntukan yang bersesuaian agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Menurut beliau, Bengkel Anyaman Siung Papar bukan sahaja berperanan memelihara seni warisan tradisi, malah berpotensi menjana ekonomi komuniti melalui industri kraftangan dan pelancongan budaya.
Sementara itu, Peter berkata, tanggungjawab jabatan bukan sahaja tertumpu kepada pemeliharaan hutan balak, malah turut meliputi pengurusan dan pemuliharaan hasil hutan bukan kayu seperti buluh, rotan dan hoputung, yang mempunyai nilai budaya, ekonomi dan warisan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, pengurusan sumber hutan secara lestari amat penting bagi memastikan bekalan bahan mentah untuk penghasilan kraftangan tradisional seperti Siung Papar terus terpelihara demi manfaat generasi masa kini dan akan datang.
Dalam ucapannya pula, Dorothy berharap agar usaha memelihara seni anyaman Siung Papar sebagai identiti dan warisan budaya masyarakat Kadazan Papar dapat diteruskan secara berterusan.
Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah Pusat Kraf Anyaman Siung Papar sebagai pusat latihan, dokumentasi, penghasilan dan pemasaran hasil anyaman.
Menurut beliau, inisiatif tersebut mampu menarik minat generasi muda untuk mempelajari seni anyaman Siung Papar, di samping memperkukuh pemeliharaan warisan budaya serta membuka peluang menjana pendapatan melalui industri kraf dan pelancongan budaya.
Sepanjang bengkel, para peserta dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Margaret Kiat dari Kampung Sabandil, Papar, yang berkongsi ilmu mengenai pemilihan buluh, penyediaan bahan serta teknik anyaman Siung Papar.
Penganjur berharap bengkel ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memelihara, mendokumentasikan dan mempromosikan anyaman Siung Papar sebagai warisan budaya yang menjadi kebanggaan daerah Papar dan Sabah, sekali gus memastikan seni warisan yang unik ini terus lestari untuk generasi akan datang.


































