Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri membangunkan satu Kerangka Kompetensi Pegawai Kehakiman Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah bagi memperkukuh institusi kehakiman adat berkenaan.
Menurutnya, kerangka kompetensi itu perlu meliputi semua peringkat pegawai kehakiman, daripada Ketua Kampung sehingga Hakim Mahkamah Tinggi Anak Negeri, serta menjadi asas kepada pelantikan, latihan, penilaian prestasi dan pembangunan kerjaya.
“Sesebuah mahkamah hanya akan dihormati apabila hakim-hakimnya turut dihormati kerana memiliki ilmu, integriti, kebijaksanaan dan kompetensi yang tinggi.
“Oleh itu, pembaharuan MAN hendaklah merangkumi bukan sahaja pindaan undang-undang, tetapi juga pembangunan modal insan kehakimannya,” katanya.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian semasa membahas Rang Undang-Undang Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Madius turut mencadangkan supaya kerangka itu disokong oleh sistem pensijilan profesional berasaskan piawaian antarabangsa ISO/IEC 17024 bagi memastikan pelantikan dan pembangunan pegawai kehakiman berasaskan merit dan penilaian yang objektif.
Ujarnya, fungsi itu boleh diperkasakan melalui Jawatankuasa Penasihat Pelantikan Kehakiman Anak Negeri di bawah Seksyen 23 bersama peranan Tetua di bawah Seksyen 30 enakmen berkenaan.
“Saya juga mencadangkan supaya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) diperkasakan sebagai pusat kecemerlangan bagi melaksanakan latihan kehakiman, penyelidikan, dokumentasi adat serta program Continuing Professional Development (CPD) secara berterusan.
“Selain itu, saya juga menyarankan penubuhan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman MAN bagi menasihati mengenai pelantikan, kenaikan pangkat, latihan dan tata kelakuan pegawai kehakiman secara lebih telus dan bebas.
“Kewibawaan sesebuah mahkamah tidak bergantung kepada bangunannya, tetapi kepada integriti institusinya, kebijaksanaan hakim-hakimnya dan keyakinan rakyat terhadap keadilannya,” tambah Presiden Kehormat UPKO itu lagi.
































