Julita Majungki
KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6 dengan kuarters di Sungai Manila, Sandakan masih berada dalam fasa pra-pelaksanaan dan belum dapat diteruskan ke peringkat tender berikutan proses penyelarasan serta kelulusan semula dokumen teknikal dan kewangan yang masih berjalan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, dokumen Preliminary Details Abstract (PDA) bagi projek itu telah diterima dan dibentangkan, namun peningkatan kos projek memerlukan semakan serta kelulusan baharu sebelum pelaksanaan dapat diteruskan.
“Projek Klinik Kesihatan Jenis 6 dengan kuarters di Sungai Manila masih berada dalam fasa pra-pelaksanaan. Projek ini belum dapat diteruskan ke peringkat tender kerana masih dalam proses penyelarasan serta kelulusan semula dokumen teknikal dan kewangan.
“Dokumen PDA telah diterima dan dibentangkan, namun kos projek meningkat daripada RM15 juta kepada RM34.82 juta berikutan pertukaran tapak, perubahan reka bentuk dan kenaikan harga pasaran semasa,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Julita berkata, susulan peningkatan kos tersebut, permohonan Notice of Change (NOC) perlu dikemukakan bagi menaikkan siling peruntukan projek kepada RM35 juta.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah kini sedang menyediakan dokumen berkaitan untuk dibawa semula ke Mesyuarat PDA bagi mendapatkan pertimbangan dan kelulusan lanjut.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan semua aspek teknikal dan kewangan projek diselaraskan sebelum proses perolehan dan tender dapat dimulakan.
Projek Klinik Kesihatan Jenis 6 dengan kuarters itu dijangka meningkatkan kemudahan kesihatan dan akses perkhidmatan perubatan kepada penduduk di kawasan Sungai Manila dan sekitarnya apabila siap kelak.
































