Hajiji (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek dividen oleh Dr. Dionysia (kiri) kepada Mohd Sofian (kanan) dalam majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM89.461 juta oleh SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJE) kepada Kerajaan Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dalam majlis ringkas itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMJE, Datuk Dr. Dionysia Kibat menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair membabitkan dividen RM50 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025 dan Bayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) berjumlah RM37.96 juta yang perlu dibayar kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2025.
Sejak 2023, SMJ Energy telah membayar dividen terkumpul sebanyak RM210 juta kepada Kerajaan Negeri.
Dividen tersebut dibayar daripada rizab boleh agih yang disokong oleh kedudukan kewangan yang kukuh, aliran tunai yang lebih mantap serta pengurusan kewangan berdisiplin yang berterusan di seluruh Kumpulan.
Sehingga 31 Disember 2025, jumlah aset Kumpulan SMJ Energy mencecah RM4.82 bilion, manakala syarikat itu merekodkan Keuntungan Selepas Cukai sebanyak RM58.7 juta meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan geopolitik yang berterusan.
Dr. Dionysia turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM1 juta kepada Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang diterima oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin, serta RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang diterima oleh Pengarahnya, Datuk Diyanah Abdullah.
Hajiji berkata, pembayaran dividen dan penyerahan CJN itu mencerminkan prestasi kewangan mampan SMJE serta membuktikan kejayaan syarikat itu dalam melaksanakan mandat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas.
Beliau berkata, sumbangan CSR tersebut turut menyerlahkan komitmen syarikat milik kerajaan negeri itu terhadap pembangunan modal insan dan inisiatif kebajikan sosial di Sabah.
Sementara itu, Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, prestasi syarikat itu membuktikan nilai pengurusan aset strategik Sabah secara berdisiplin, profesional dan berpandangan jauh.
“Tanggungjawab kita adalah mengurus pelaburan strategik negeri secara berhemah agar ia terus memberikan pulangan mampan dan manfaat berkekalan kepada Sabah, bukan sahaja pada hari ini tetapi juga untuk generasi akan datang,” kata Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Soh, Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif (Huluan) SMJE, Datuk Albert Lo, serta pegawai kanan SMJE.






























