Limus Jury
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang melaksanakan pelbagai langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang berterusan di Sandakan, termasuk di kawasan Karamunting, Gum-Gum, Sekong, Senallang dan Tanjong Papat.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, Jabatan Air Sabah memandang serius isu bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan dan sentiasa mengambil tindakan segera bagi memastikan penyaluran bekalan air terawat dapat diteruskan secara berterusan, stabil dan konsisten.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Tszun Kheing (Karamunting), Arunarnsin Taib (Gum-Gum), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang), Alias Sani (Sekong) dan Thien Ching Qiang (Tanjong Papat) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Limus berkata, antara tindakan jangka pendek yang dilaksanakan ialah penghantaran lori tangki air ke kawasan yang terjejas akibat kebocoran paip, gangguan bekalan air atau bencana bagi memastikan penduduk terus mendapat bekalan air terawat.
Selain itu, Janatan Air turut melaksanakan pengaturan semula sistem agihan bekalan air melalui pengawalan injap sluis bagi mengoptimumkan tekanan rangkaian dan paras air di tangki simpanan, sekali gus mengimbangi pengagihan bekalan air ke kawasan yang terjejas.
Beliau berkata, Jabatan Air juga telah membina tangki-tangki statik di lokasi yang kerap mengalami gangguan bekalan air bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air terawat semasa berlakunya gangguan.
“Jabatan juga sentiasa memantau keadaan sistem agihan dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip bocor dengan kadar segera melalui kontraktor yang dilantik di bawah Kontrak Penyelenggaraan Daerah,” katanya.
Mengenai pelan jangka panjang, Limus berkata, Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air termasuk Pembinaan Tangki Simpanan Air Sandakan kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 94 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.
Katanya, projek itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sistem pengepaman terus (direct pumping) yang menyebabkan tekanan tinggi pada rangkaian paip sedia ada.
Di bawah projek itu, tiga tangki simpanan air akan dibina di Batu 16 Gum-Gum berkapasiti lima juta liter, Batu 7 Jalan Airport berkapasiti 10 juta liter dan Batu 4 Tshun Ngen berkapasiti 10 juta liter.
Sebuah tangki imbangan berkapasiti 10 juta liter juga akan dibina di Batu 12 Sungai Manila.
“Apabila siap kelak, projek ini akan meningkatkan kecekapan sistem agihan bekalan air dengan membolehkan bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud disimpan dan diagihkan secara lebih sistematik.
“Pelaksanaannya juga dijangka dapat mengurangkan tekanan operasi pada rangkaian paip sedia ada, sekali gus mengurangkan kejadian kebocoran paip serta menurunkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water atau NRW) di Daerah Sandakan,” katanya.
Limus berkata, kajian bertajuk To Investigate the Existing Boreholes and Design to Construct a New Raw Water Source for Hilltop and Sibuga Water Treatment Plant telah disiapkan pada Jun 2026.
Menurut beliau, hasil kajian itu mengenal pasti keperluan pemulihan terhadap 10 telaga tiub sedia ada serta penambahbaikan beberapa telaga tiub lain bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Hilltop dan LRA Sibuga sebanyak dua hingga empat juta liter sehari (JLH).
“Sehubungan itu, Jabatan Air akan melaksanakan projek Rehabilitation and Upgrade of Borewell Systems for Hilltop Water Treatment Plant, Sandakanyang melibatkan kerja-kerja pemulihan terhadap 10 telaga tiub tersebut.
“Pelaksanaan projek ini dijangka bermula pada tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Air turut memohon peruntukan bagi melaksanakan projek penambahan kapasiti LRA Segaliud yang melibatkan pembinaan sebuah loji rawatan air baharu berkapasiti 125 juta liter sehari berserta pembinaan muka sauk baharu.
“Pada masa ini, projek tersebut berada dalam peringkat penyediaan kajian reka bentuk, manakala pelaksanaan fizikal akan dipohon di bawah Rolling Plan 3 (RP3) RMK13 melalui Program Pinjaman Mudah Persekutuan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya.





























